My Add

Thursday 8 August 2013

Pandangan Kuan Yew sempit, lapuk

 Shamsul Amri
KUALA LUMPUR, RABU, 07 Ogos, 2013: Pandangan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew mengenai dasar-dasar berasaskan kaum di negara ini yang didakwa tidak menguntungkan Malaysia disifatkan sebagai satu pandangan lapuk dan sempit.

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, Kuan Yew harus sedar bahawa beliau hanya mentadbir sebuah negara yang kecil iaitu tiga juta penduduk berbanding Malaysia yang mempunyai kira-kira 29 juta penduduk.

‘‘Mana boleh hendak bandingkan Singapura dengan Malaysia, beliau tadbir Singapura yang hanya memiliki tiga juta penduduk dengan sistem meritokrasi.

‘‘Selain itu, kita faham pandangan tersebut berdasarkan pengalaman di Singapura iaitu satu kaum mendominasi negara terbabit, tidak sama seperti Malaysia yang mempunyai keseimbangan antara Melayu dengan bukan Melayu,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Namun katanya, pandangan itu penting bagi Malaysia kerana memberi peringatan kepada rakyat negara ini supaya berhati-hati dalam melaksanakan perundingan dan tolak ansur antara kaum di Malaysia.

Semalam Bernama melaporkan Kuan Yew berkata, dasar-dasar berasaskan kaum di Malaysia meletakkan negara dalam keadaan yang tidak menguntungkan. - UTUSAN

Malaysia hilang golongan berbakat

*Malaysia sedang kehilangan punca dan memberikan negara lain peluang dan kelebihan persaingan dalam persekitaran bebas
Lee Kuan Yew, bekas Perdana Menteri Singapura


SINGAPURA, RABU, 07 Ogos 2013, 2013: Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew (gambar) berkata, dasar-dasar berasaskan kaum di Malaysia meletakkan negara itu dalam keadaan yang tidak menguntungkan.

Dalam petikan buku terbarunya bertajuk One Man's View of the World yang dilancarkan di Istana di sini hari ini, Lee berkata: "Ia adalah secara sukarela mengecutkan golongan berbakat yang diperlukan untuk membentuk masyarakat yang mengguna pakai bakat daripada semua kaum.

"Mereka bersedia untuk kehilangan bakat besar bagi mengekalkan dominasi sebuah kaum.

"Sejak kebelakangan ini, kerajaan Malaysia telah agak bersedia untuk mengakui kehilangan golongan berbakat kepada bandar-bandar berwibawa di tempat lain dan sedang mencuba menarik pulang warga Malaysia berbakat dari luar negara.

"Tetapi realitinya, usaha-usaha ini mungkin terlalu sedikit...terlalu lewat," kata Lee yang merupakan bekas Menteri Mentor, dalam bukunya, bab Asia Tenggara - Malaysia - A Different Path.

"Selepas Pilihan raya Umum 2008, ada perasaan mendalam di kalangan sesetengah pihak di Malaysia bahawa negara itu berada di ambang perubahan sebenar," katanya.

Beliau berkata, pembangkang yang berkempen secara rasmi antara lain berjanji untuk menghapuskan beberapa dasar berasaskan kaum sehingga memberi kejutan kepada penyokong sendiri dengan pencapaiannya.

"Daripada segi undi, ia adalah pencapaian terbaik pembangkang sejak 1969. Daripada segi perolehan kerusi, ia merupakan keputusan paling terbaik dengan kerajaan dinafikan majoriti dua pertiga," kata pemimpin yahg akan mencapai usia 90 tahun pada September ini.

Setahun selepas pilihan raya, Lee dalam bukunya, berkata apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri, beliau telah melancarkan kempen '1Malaysia' bagi memperkukuhkan keharmonian kaum dan perpaduan nasional.

Lee berkata, adalah mustahil bagi Najib untuk menawan semula hati pengundi Cina dan India tanpa kehilangan penyokong teras daripada partinya - kaum Melayu.

Beliau berkata, slogan 1Malaysia tidak menepati keterujaan awal yang dicetuskan oleh kempen itu.

Dalam erti kata lain, rakyat berkongsi 1Malaysia tetapi komuniti tetap berbeza sebagai Melayu, Cina dan India. Ia masih kekal sama sekiranya kempen 1Malaysia boleh membawa kesamartaan untuk bukan bumiputera dalam apa-apa cara yang ketara, katanya.

Buku setebal 400 halaman itu, terbitan Straits Times Press, unit penerbitan Singapore Press Holdings (SPH) Ltd, menyampaikan pandangan Lee tentang masa depan kuasa-kuasa besar dan rantau-rantau di dunia. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment