My Add

Thursday 8 August 2013

Pasar raya jual produk salah guna logo halal

 * DR. SAHARUDDIN Awang Yahya menunjukkan logo halal yang tidak diiktiraf oleh Jakim pada label makanan dalam tin dari China ketika tinjauan di sebuah pasar raya di Bandar Kinrara, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, RABU, 07 Ogos, 2013: Masih ada pasar raya yang memasarkan produk-produk makanan menggunakan logo halal yang tidak mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, tindakan mereka itu bukan sahaja menimbulkan keraguan malah mengelirukan pengguna di segi status sah halal produk.

"Kebanyakan syarikat pengeluar produk makanan bukan Islam seperti peniaga Cina menyedari pengguna Islam mengambil berat dalam soal kandungan halal bahan sesuatu produk yang hendak dibeli.

"Sebab itu terdapat sesetengah pengusaha sesuka hati meletakkan logo halal pada label produk yang dihasilkan terutama produk berasaskan perencah masakan seperti sup dan herba memandangkan mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan harga kawalan di sebuah pasar raya, dekat sini hari ini.

Katanya, tindakan mereka itu bagaimanapun jelas menyalahi peraturan yang telah ditetapkan kerana telah menyalahgunakan logo halal tanpa memohon sijil pengesahan halal daripada Jakim.

Menurut Saharuddin, sejak Akta Perihal Dagangan 2011 dikuat kuasa, produk halal yang sah hanya diperakui dan ditandakan dengan logo halal yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berwibawa seperti Jakim.

"Pengusaha atau pengeluar produk yang menyalahi peraturan itu jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sekurang-kurangnya RM200,000 atau penjara," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengguna supaya berhati-hati apabila membeli sesuatu produk di pasar raya dan pastikan logo halal yang digunakan mendapat pengiktirafan daripada Jakim.

"Kalau masih was-was terhadap sesuatu barangan, boleh membuat semakan di laman web Jakim sama ada barangan yang dipasarkan itu telah mendapat pengesahan halal atau tidak," katanya.

Pada masa sama, beliau berharap, pasar raya lebih bertanggungjawab dengan memastikan produk yang mempunyai logo halal adalah yang sah dan diperakui oleh Jakim.

"Sekiranya terdapat produk yang menyalahi perintah perihal dagangan ditetapkan, jangan benarkan produk itu dipasarkan atau dipamerkan," katanya.

Sementara itu, mengulas tentang tinjauan harga kawalan di pasar raya tersebut, Saharuddin berkata, sepanjang tinjauan dilakukan di empat pasar raya, kebanyakan pengusaha mematuhi harga kawalan yang ditetapkan.

"Mereka menawarkan harga barangan keperluan di bawah daripada harga kawalan yang ditetapkan malah ada yang lebih murah berbanding sebelum ini.

"Bekalan barangan keperluan bagi persiapan Aidilfitri juga mencukupi," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment