My Add

Tuesday 13 August 2013

Pasukan siasatan khas ditubuh

Oleh YULPISMAN ASLI
 
 Mazlan Lazim
KOTA BHARU, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Polis Kelantan menubuhkan satu pasukan khas bagi menjalankan siasatan secara menyeluruh kes letupan di Taman Sri Periuk, Tumpat yang meragut nyawa seorang kerani sekolah semalam.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, pasukan siasatan khas itu diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Supritendan Sharifudin Yusof.

Beliau berkata, polis akan menyiasat secara rapi semua aspek termasuk kemungkinan penglibatan kumpulan pengganas dari negara jiran dalam kejadian itu.

Katanya, polis juga masih menjalankan siasatan individu yang mungkin dijadikan sasaran dalam letupan tersebut.

"Motif dan jenis bahan letupan yang digunakan masih dalam siasatan. Sampel bahan letupan itu telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dikenal pasti. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Polis meminta mana-mana saksi yang ternampak individu meletakkan benda di atas bumbung kereta tersebut tampil bagi membantu siasatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Lai Yong Heng.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi semalam, seorang kerani maut dengan kedua-dua tangannya putus setelah mengambil satu bungkusan dipercayai mengandungi bahan letupan yang ditinggalkan di atas bumbung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di halaman rumah mentuanya di Taman Sri Periuk, Tumpat.

Dalam kejadian itu, mangsa, Mohd. Yusrizal Mat Zain, 32, yang bertugas sebagai kerani di Sekolah Kebangsaan Kuala Krai meninggal dunia di tempat kejadian.

Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang amat sedih dengan insiden itu meminta pihak polis menjalankan siasatan segera bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, siasatan awal polis mendapati bahan letupan tersebut adalah buatan sendiri yang diletakkan di atas kereta Naza Citra milik abang ipar mangsa, kira-kira lima meter dari depan rumah mentua mangsa.

Beliau berkata, polis turut mengambil keterangan lapan individu yang berada di dalam rumah ketika kejadian kemungkinan mereka mempunyai masalah dengan orang lain termasuk melibatkan mangsa.

"Kita mengambil kira semua individu yang berada dalam rumah itu jadi buat masa ini kita belum dapat kenal pasti dengan tepat motif kejadian dan sedang menyiasat secara terperinci," katanya yang menyifatkan kes ini terpencil dan orang ramai tidak perlu bimbang kerana keselamatan di negeri ini terkawal.

Mazlan dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai supaya segera memaklumkan kepada polis sekiranya mengesan objek yang mencurigakan di kediaman mereka.

"Jika ada individu mencurigakan di kawasan rumah mereka, sila maklum segera kepada polis dengan menghubungi talian 09-7450999 atau menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada Rakan Cop untuk kita ambil tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa letupan susulan yang berlaku di taman perumahan itu kira-kira pukul 4.40 petang semalam sebenarnya sampah sarap yang diletupkan setelah didapati mencurigakan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment