My Add

Saturday 3 August 2013

Patuhi jadual perjalanan elak trafik sesak

 * DERETAN kenderaan kelihatan memenuhi Jalan Sungai Besi, di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: PLUS Malaysia Bhd. (PLUS) menjangkakan sebanyak 1.4 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini terutama di Lebuh Raya Utara-Selatan berbanding 1.1 juta kenderaan pada hari biasa.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Abd. Hamid sehubungan itu menasihatkan pengguna jalan raya mematuhi jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan PLUS bagi mengelakkan kesesakan trafik.

Menurutnya, jadual TTA terdiri daripada cadangan perjalanan berperingkat mengikut masa dan destinasi tertentu bermula dari Lembah Klang ke negeri-negeri dan bandar-bandar utama seperti di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

"Kali ini PLUS memberi fokus kepada perjalanan di Lebuh Raya Utara-Selatan di antara 2 hingga 7 Ogos (bagi perjalanan balik ke kampung) serta di antara 10 hingga 18 Ogos (bagi perjalanan balik ke Lembah Klang).

"Bagi orang ramai yang menuju ke destinasi lebih jauh mereka disarankan keluar lebih awal manakala yang berdekatan dengan Lembah Klang disaran memasuki lebuh raya lebih lewat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Operasi PLUS, Mohammad Fuad Khusairi.

Noorizah berkata, dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas, kerja-kerja penyelenggaraan dihentikan bermula dari hari ini sehingga 19 Ogos dan dari 31 Ogos sehingga 1 September 2013 berikutan sempena cuti Hari Kemerdekaan.

Selain itu, PLUS akan membuka lebih daripada 1,500 kaunter tol, menyediakan sebanyak 156 pasukan PLUS Ronda dan seramai 3,000 petugas selain menambah bilangan kakitangan di Pusat Kawalan Trafik yang berjumlah 75 orang untuk tempoh 24 jam sehari.

Sempena cuti perayaan ini katanya, PLUS akan memberikan rebat tol sebanyak 20 peratus hanya kepada pengguna lebuh raya berkenderaan kelas 1 yang menggunakan sistem pembayaran elektronik iaitu pada 5, 6, 14, 15 dan 31 Ogos.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya PLUS menerusi: PLUSLine di 1800-88-0000, laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik, papan tanda elektronik dan laporan trafik menerusi stesen radio utama. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment