My Add

Tuesday 13 August 2013

Pecat ahli Pas amal fahaman Syiah

 Norazli Musa
KUALA LUMPUR, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Mana-mana pemimpin atau ahli Pas yang menganut fahaman Syiah sepatutnya dipecat kerana perbuatan itu bercanggah dengan Perlembagaan parti.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Perak, Norazli Musa berkata, Perlembagaan parti menetapkan hukum tertinggi dalam pegangan Pas ialah al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW serta ijmak dan qias.

Menurut beliau, pegangan itu selari dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang secara automatik menolak fahaman Syiah.

Sehubungan itu, katanya, beliau berpandangan usul menolak fahaman Syiah tidak perlu dibentangkan dalam muktamar Pas tahun ini kerana perkara tersebut telah termaktub dalam Perlembagaan parti.

"Malah, Pas Pusat pernah bersikap tegas dalam menguatkuasakan ketetapan ini dengan memecat beberapa ahli Pas Perak sekitar 1990-an" katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Norazli mengulas kenyataan dua aktivis Pas, Mohd. Riza Kamaruddin dan Norman Toha yang menggesa parti itu membentangkan usul membasmi ajaran Syiah dalam muktamar Pas yang dijangka berlangsung hujung tahun ini.

Beliau menambah, sebarang dakwaan yang mengaitkan pemimpin atau ahli Pas dengan kegiatan Syiah mesti disokong dengan bukti.

"Setakat cakap sahaja tidak mencukupi. Sekiranya ada bukti, ahli Pas yang terbabit perlu dipecat tanpa mengira jawatannya," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment