My Add

Tuesday 6 August 2013

Pegawai kanan Program E-Pendidikan Genius didakwa

KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Seorang bekas Timbalan Pengerusi merangkap Ketua Eksekutif Tabung Kebajikan dan Pendidikan Program E-Pendidikan Genius mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan penipuan, pecah amanah dan cuba menipu wang berjumlah RM500,000, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Raja Azman Shah Raja Alang Petra, 48, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Rosbiahanin Ariffin.

Bagi tiga pertuduhan pertama, Raja Azman didakwa menipu pemilik-pemilik syarikat tertentu, Azlan Arshad 46; Ng Suat Hon, 58, dan Ahamad Nazim, 30.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan cara memperdaya mangsa untuk melabur RM150,000, RM200,000 dan RM150,000 masing-masing ke dalam tabung kebajikan dan pendidikan yang sama.

Tujuannya bagi menjalankan kerja-kerja ‘Supply, Installation, Testing And Commissioning Services for IT Facilities’ yang melibatkan 812 buah sekolah di Perak, Negeri Sembilan dan Perlis.

Perbuatan itu dituduh dilakukan melalui pengarah-pengarah operasi syarikat itu, Hishamsol Othman, 43, dan Zuraimi Abd. Rahim, 39.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat syarikat itu di Suite 17.2, Tingkat 17, Bangunan MAS, Jalan Sultan Ismail, di sini antara September 2006 dan 30 Januari 2008.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama bagi ketiga-tiga pertuduhan menipu.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Raja Azman Shah juga didakwa bagi dua lagi pertuduhan melakukan pecah amanah dengan menjadikan wang milik Suat Hon dan Azlan untuk kegunaan sendiri di tempat dan tarikh yang sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 406 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan keenam, dia didakwa bersubahat dengan Hishamsol dan Zuraimi menipu Suat Hon dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa dengan menyumbangkan wang sejumlah RM200,000 ke dalam tabung tersebut, syarikat mangsa boleh mendapat pengecualian cukai.

Bagi pertuduhan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 109 kanun tersebut dan dibaca bersama Seksyen 417 sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan 12 September ini untuk sebutan semula kes. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment