My Add

Saturday 3 August 2013

Pekan Rabu akan diroboh untuk dibina semula: Mukhriz

ALOR SETAR, SABTU, 03 Ogos, 2013: Pekan Rabu iaitu pusat perniagaan Bumiputra di bandar raya ini akan diroboh untuk dibina semula supaya lebih selesa dan lapang, kata Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir.

"Kompleks Pekan Rabu yang moden akan didirikan semula di tapak asal," kata Mukhriz kepada pemberita selepas meninjau pusat perniagaan itu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedar Pekan Rabu penting kepada Alor Setar khususnya untuk industri pelancongan dan sehubungan itu pusat perniagaan berkenaan akan dibina semula supaya lebih menarik.

Permohonan untuk tujuan itu sudah diluluskan kerajaan persekutuan, katanya.

Pekan Rabu yang wujud sejak 1900 menjadi tarikan pengunjung serta sinonim dengan jualan makanan, kuih dan pakaian tradisional, tukang jahit, songkok, kraftangan tempatan, buku, kitab, majalah dan produk industri kecil dan sederhana (IKS).

Mukhriz berkata, kompleks baru itu akan mempunyai lebih banyak ruang perniagaan.

Mukhriz berkata, semua peniaga Pekan Rabu akan dipindahkan ke tapak sementara milik Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) di sini untuk membolehkan kerja-kerja meroboh dilaksanakan dalam masa dua atau tiga bulan dari sekarang.

Beliau berkata, kompleks baru Pekan Rabu itu akan mempunyai ruang meletak kereta mencukupi dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun daripada tarikh pembinaannya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment