My Add

Sunday 4 August 2013

Pemandu cuai punca utama nahas di Jalan Pan Borneo - Fadillah Yusof

KUCHING, AHAD, 04 Ogos, 2013: Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata kemalangan yang berlaku di Jalan Pan Borneo bukan atas faktor jalan semata-mata sebaliknya banyak punca lain termasuk kecuaian pemandu yang menjadi penyebab utama.

Katanya berdasarkan laporan, beberapa kemalangan yang berlaku di jalan itu sebelum ini turut menunjukkan cara pemanduan serta keadaan kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik juga antara penyebab.

Justeru adalah tidak tepat untuk menyalahkan keadaan Jalan Pan Borneo sebagai punca kemalangan, katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Unit Perhubungan Awam dan Media Ihsan Perdana bagi Yayasan 1MDB, Datuk Zahari Sulaiman.

Fadillah berkata demikian ketika diminta mengulas dua kemalangan maut di Jalan Pan Borneo minggu ini yang menjadikan angka korban akibat kemalangan di situ meningkat kepada 10 orang dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Ditanya sama ada kementeriannya bercadang menempatkan pegawai di yang kerap berlaku kemalangan, Fadillah berkata perkara itu sukar dilaksana atas faktor kekurangan tenaga kerja

"Apa yang boleh dilakukan ketika ini, pengguna jalan raya turut boleh membantu dengan jadi pemantau, mereka boleh melapor jika mempunyai maklumat terdapat jalan yang rosak. 

"Ini akan turut membantu Jabatan Kerja Raya (JKR) memastikan syarikat dilantik sebagai penyelenggara menjalankan tugas dengan baik," katanya sambil menambah laporan boleh dibuat melalui laman web JKR atau terus kepada beliau.

Sementara itu, Zahari berkata 1MDB memperuntukkan RM500,000 sebagai sumbangan hari raya kepada kumpulan sasar di Sarawak.

"Seramai 3,000 orang terdiri daripada ibu tunggal, orang kurang berkemampuan, orang kelainan upaya, akan mendapat manfaat daripada sumbangan ini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment