My Add

Tuesday 13 August 2013

Pemandu maut dihempap lori tangki terjunam dari jejambat

 * BEGINILAH keadaan lori tangki yang terbabas dan terjunam dari sebuah jejambat di Kilometer 280.7 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di Nilai, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/MD.SHAHJEHAN MAAMIN
SEREMBAN, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Seorang pemandu lori maut dalam keadaan mengerikan iaitu sebahagian tubuhnya hancur selepas lori tangki dipandunya terbabas dan terjunam dari sebuah jejambat di Kilometer 280.7, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di Nilai hari ini.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu mangsa, G. Perumal, 59, maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaan berat itu, sebelum dihempap kepala lori berkenaan.

Jurucakap polis berkata, sewaktu kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke Seremban selepas menghantar muatan gas petroleum cecair (LPG) ke Balakong, Selangor.

Menurutnya, kenderaan dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi lebuh raya sebelum terjunam dari jejambat setinggi kira-kira 20 meter.

"Mangsa yang berasal dari Taman Pantai Mas, Port Dickson tercampak dari kenderaannya sebelum dihempap kepala lori berkenaan dan diseret sejauh beberapa meter.

"Mangsa maut di tempat kejadian selepas sebahagian tubuhnya hancur dihempap kenderaan berat berkenaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Bagaimanapun menurut jurucakap itu, mujurlah ketika kejadian tiada kenderaan melalui Jalan Besar Nilai berhampiran Taman Semarak yang terletak di bawah jejambat berkenaan.

"Beberapa jentera Bomba dan Penyelamat dari Balai Nilai dan unit bantuan di hentian sebelah Nilai dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat mangsa.

"Ketika kejadian lori tangki yang dibawa pemandu itu kosong dan tiada sebarang kebocoran gas dilaporkan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah berkata, punca sebenar kemalangan itu masih disiasat.

Beliau berkata, mayat pemandu lori itu dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment