My Add

Monday 5 August 2013

Pemandu teksi kes bunuh pengasas AmBank disambung reman

KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Polis akan mengemukakan permohonan untuk menyambung reman pemandu teksi yang dipercayai membawa suspek berhubung kes pembunuhan pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian (AmBank) Hussain Ahmad Najadi pada Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, reman suspek selama tujuh hari sebelum ini akan berakhir esok dan permohonan menyambung reman perlu dibuat kerana polis masih memerlukannya untuk membantu siasatan.

"Kita percaya pemandu teksi berkenaan mampu membawa polis menjejaki suspek dan seterusnya menyelesaikan kes pembunuhan ini. Polis juga percaya suspek masih berada di ibu negara," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Chin Wah berkata, polis turut menyiasat penglibatan pemandu teksi berumur 44 tahun itu dengan suspek.

Beliau berkata, suspek yang dikenali sebagai Sei Ngan Chai atau Ah Chian yang berusia lingkungan 40-an dan tidak mempunyai rekod jenayah dipercayai masih berada di Kuala Lumpur walaupun serbuan ke atas rumahnya minggu lepas mendapati dia telah menghilangkan diri.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan selepas gambar suspek didedahkan polis Rabu lepas.

Dalam kejadian itu, Hussain, 75, mati manakala isterinya Chong Mei Kuen, 49, cedera parah apabila mereka ditembak dari jarak dekat di tempat letak kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina di Lorong Ceylon di sini.

Hussain terkena dua das tembakan di dada dan meninggal di tempat kejadian manakala isterinya cedera di pergelangan tangan kiri serta paha kanan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment