My Add

Wednesday 21 August 2013

Pembaharuan dan kesinambungan pentadbiran negara perlu gerak seiring: PM

PUTRAJAYA, RABU, 21 Ogos, 2013 : Datuk Seri Najib Razak berkata, pembaharuan dan kesinambungan, dua aspek penting dalam pentadbiran negara, perlu bergerak seiring bagi menampilkan suasana dinamik dalam merintis jalan ke arah menjamin masa depan negara yang cemerlang.

"Saya percaya ini jalan terbaik ke hadapan berbanding sesetengah negara mutakhir ini yang pilih jalan membawa kepada perubahan yang mengejut, tetapi kesudahannya tidak seperti yang dijangkakan atau yang diharapkan.

"Sebaliknya kalau kita dapat mengekalkan apa yang sedia ada ini dan di samping itu kita boleh buat perancangan jangka panjang disertai dengan kemampuan kita untuk membawa perubahan dan kesinambungan, maka itulah jalan terbaik untuk menjamin masa depan negara kita yang tercinta," kata perdana menteri semasa berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan isteri.

Perdana menteri berkata jika disingkap kembali sejarah perjalanan negara, lebih banyak kebaikan akan diperoleh dengan menekankan konsep kesinambungan dan pembaharuan.

"Kita dapat melaksanakan perancangan jangka panjang, bukan sahaja perancangan lima tahun malah kita sedang melaksanakan dasar transformasi negara ke arah mencapai wawasan negara yang menjangkau tempoh waktu yang lebih lama lagi,iaitu kira-kira hampir 30 tahun masanya," katanya.

Dalam pada itu Perdana Menteri meminta seluruh penjawat awam supaya mengukuhkan keazaman dan iltizam untuk menjalankan tugas sebagai penjawat awam dengan penuh dedikasi. 

"Penjawat awam dan anggota pentadbiran di sisi rakyat pada hakikatnya tidak boleh dipisahkan. Sekiranya ada apa-apa kelemahan yang berlaku, maka kelemahan itu akan dilihat sebagai kelemahan kepada kerajaan.

"Begitu juga kalau kejayaan dicapai oleh penjawat-penjawat awam ia juga akan dilihat sebagai kejayaan kerajaan keseluruhannya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment