My Add

Sunday 11 August 2013

Pemilihan SNBJ ditentukan penganjur: KJ

KUALA LUMPUR, SABTU, 10 Ogos, 2013: Pemilihan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebagai venue asal perlawanan Malaysia XI menentang kelab tersohor Sepanyol, Barcelona FC ditentukan oleh pihak penganjur dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menjelaskan demikian berhubung pertukaran venue ke Stadium Shah Alam pada saat-saat akhir kerana keadaan padang Stadium Bukit Jalil 'yang tidak mengizinkan'.

Beliau juga mengakui tidak berpuas hati dengan keadaan padang SNBJ selepas kali pertama melawatnya dalam masa sebulan selepas dilantik sebagai menteri.

"Saya juga mengarahkan Perbadanan Stadium Malaysia untuk menutup SNBJ pada Oktober selepas perlawanan akhir Piala Malaysia selama enam bulan untuk membolehkan kerja-kerja menggantikan padang kerana padang lama tidak boleh diselamatkan.

"Keputusan saya mendapat liputan luas dalam media arus perdana dan media sosial," katanya di laman Facebook beliau.

Penukaran lokasi perlawanan yang akan diadakan jam 8.45 malam ini disahkan oleh Pengarah Urusan BSC Soccer Malaysia Effendi Jagan Abdullah.

Khairy menerusi posting di facebooknya bersimpati dengan ribuan penyokong yang terpaksa mengubah perancangan mereka malam ini.

Ditanya mengapa stadium itu tidak ditutup lebih awal, Khairy berkata beberapa penganjur telah membuat segala persiapan acara yang akan diadakan di stadium itu termasuk beberapa konsert, selain keputusan FAM yang tetap mahu mengadakan perlawanan akhir Piala Malaysia di situ.

Beliau juga memaklumkan bahawa Lembaga Perbadanan Stadium Malaysia sudah mengadakan mesyuarat beberapa minggu yang lalu untuk menentukan prosedur tender bagi kerja-kerja menggantikan padang baharu.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment