My Add

Saturday 3 August 2013

Pemilihan UMNO medium kenal pasti calon berjiwa rakyat

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Pemilihan UMNO yang bermula September ini berperanan sebagai pemudah cara untuk parti mengenal pasti individu yang benar-benar berminat menggalas tanggungjawab kepada rakyat.

Sehubungan itu, seluruh perwakilan parti yang layak mengundi sama ada di peringkat cawangan, sayap, bahagian dan majlis tertinggi perlu menggunakan kesempatan tersebut untuk menilai calon yang bertanding.

Menurut Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, peluang dan ruang harus diberikan kepada calon yang berkebolehan memberi khidmat kepada rakyat secara berkesan agar parti diterima masyarakat.

"Sesiapa yang kita lihat bersungguh-sungguh, bersedia dan berminat melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat serta berkebolehan dalam memimpin, (calon) itu yang patut diberi tanggungjawab," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis berbuka puasa anjuran Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dan UMNO Titiwangsa, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; timbalan dan setiausahanya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin serta Datuk Ali Alhabshee dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani.

Sempena majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan bantuan kepada anak-anak yatim serta beberapa buah masjid di sekitar Lembah Klang.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, setiap cawangan dan bahagian dalam UMNO sedikit sebanyak tidak akan terlepas daripada dilanda masalah dalaman masing-masing, namun itu bukan penghalang besar untuk parti.

"Saya yakin semua ini dapat diselesaikan sebelum pemilihan tidak lama lagi kerana kita perlu ingat cabaran paling besar ialah bagaimana untuk terus mendapat sokongan dari semua peringkat di Wilayah Persekutuan," katanya.

Mengenai usaha memenangi sokongan rakyat, beliau berkata, prasyarat utama yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak ialah kerjasama erat di samping perpaduan jitu antara pemimpin di peringkat parlimen dan bahagian.

Sementara itu, Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan memberi jaminan akan menyokong penuh gandingan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Muhyiddin bagi mengekalkan kedudukan Presiden serta Timbalan Presiden pada pemilihan Oktober ini.

Tengku Adnan berkata, gandingan Najib dan Muhyiddin adalah yang terbaik untuk memimpin UMNO bagi memastikan parti tersebut terus menjadi wadah kepada perjuangan orang Melayu sebagaimana dibuktikan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

Namun begitu, Tengku Adnan berkata, bagi kedudukan Naib Presiden, rata-rata ahli di Wilayah Persekutuan mahu jawatan itu ditandingi walaupun beliau yang mewakili UMNO Bahagian Putrajaya secara peribadi berharap gandingan sedia ada dikekalkan demi perpaduan dan keutuhan parti. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment