My Add

Sunday 4 August 2013

Pemilihan UMNO: Penyandang harus sedia dicabar

Oleh Nazura Ngah

KUALA LUMPUR, SABTU, 03 Ogos, 2013: Jawatan Naib Presiden UMNO wajar dipertandingkan selaras peranannya sebagai landasan melahirkan pemimpin pelapis yang bakal mewarisi tampuk kepemimpinan ditinggalkan Presiden dan timbalannya.

Untuk memastikan kesinambungan kepemimpinan berkualiti dalam parti, pemilihan bagi jawatan itu perlu disertai ramai pemimpin berkelayakan dan berani menawarkan diri sekali gus mengelak UMNO berterusan dilabel parti ketandusan pemimpin pelapis.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata penyandang kerusi Naib Presiden mestilah bersedia dicabar oleh pemimpin yang berani tampil membawa pendekatan lebih baik dengan matlamat membawa UMNO kepada tahap lebih cemerlang.

Pada masa sama, katanya, penyandang juga harus bersikap terbuka dan tidak takut untuk dinilai oleh 150,000 perwakilan yang diberi mandat memilih kepemimpinan UMNO berasaskan Perlembagaan baru pada pemilihan kali ini.

 Apabila UMNO melakukan transformasi politik dengan memberi kuasa kepada ahli peringkat akar umbi memilih pemimpin, ia memberi peluang kepada mereka untuk memilih pemimpin lebih berwibawa, selain bermatlamat menangani gejala politik wang.

Pada saya, sama ada ketiga-tiga penyandang perlu diganti atau tidak, biarlah ahli akar umbi yang membuat ketentuan. Penyandang sudah diberi peluang untuk menampilkan ketokohan mereka, katanya yang menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan ahli MT. 

Mohd Puad yang juga bekas Timbalan Menteri Pelajaran, berkata beliau yakin perwakilan tidak meletakkan faktor jawatan dalam Kabinet sebagai batu asas untuk memilih pemimpin yang layak menerajui parti, sebaliknya mereka lebih bersedia memilih pemimpin yang berani dan tegas dengan pendirian.

Beliau yakin, senario pemilihan 2008 akan berulang apabila ramai yang tiada jawatan dalam Kabinet membarisi kepemimpinan MT, termasuk beliau.

 Sementara itu, Ahli MT, Datuk Saifuddin Abdullah berpendapat, jawatan Naib Presiden wajar dipertandingkan supaya perwakilan berupaya memilih tiga tokoh yang terbaik untuk masa depan UMNO sekali gus memastikan UMNO mampu berperanan dalam melakukan transformasi terhadap Barisan Nasional (BN).

Secara khususnya, jawatan Naib Presiden sentiasa dipertandingkan. Justeru, saya rasa elok jika ia dipertandingkan supaya semua yang ingin menawarkan diri dapat berbuat demikian, katanya.

Bagaimanapun, pandangan itu tidak dipersetujui Ahli MT, Datuk Bung Mokhtar Radin, yang berpendapat perwakilan wajar memberi peluang kepada penyandang untuk memegang jawatan itu bagi penggal akan datang dalam usaha membantu Presiden memperkukuhkan parti. - BH

No comments:

Post a Comment