My Add

Wednesday 21 August 2013

Pemimpin Ikhwanul Muslimin ditangkap

 *MOHAMMED duduk di sebuah balai polis selepas ditahan di Kaherah, Mesir semalam.- REUTERS
KAHERAH, SELASA, 20 Ogos, 2013: Pemerintah Mesir semalam mengumumkan bahawa pemimpin agama Ikhwanul Muslimin, Mohammed Badie telah ditahan.

Perkembangan terbaharu itu memberi tamparan hebat kepada kumpulan penyokong bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi yang kini dilihat semakin lemah untuk meneruskan momentum protes jalanan selepas lokasi perhimpunan mereka digempur oleh pasukan keselamatan Mesir, Rabu minggu lalu.

Selain Badie, ratusan lagi pemimpin Ikhwanul Muslimin turut ditangkap. Sejak dua hari lalu, protes mula dilihat semakin lemah apabila tidak ramai yang menyertainya.

Badie ditahan di sebuah pangsapuri di Bandar Nasr, timur Kaherah berdekatan dengan lokasi perhimpunan penyokong Morsi yang berkampung di sana selama enam minggu.

Berikutan penangkapan itu, Ikhwanul Muslimin menamakan timbalan ketuanya, Mahmoud Ezzat sebagai pemimpin sementara kumpulan tersebut.

Baie dilihat kali terakhir di khalayak ketika menyampaikan ceramah di hadapan penyokongnya pada bulan lalu. Tangkapan Badie dibuat selepas seorang anak lelakinya, Amar ditembak mati ketika bertempur dengan pasukan keselamatan pada Jumaat lalu.

Pemerintah Mesir yang disokong oleh tentera kini menimbang untuk mengharamkan Ikhwanul Muslimin. Ia berdepan tekanan daripada media dan pemimpin poltik berfahaman sekular supaya Ikhwanul Muslimin dilabel sebagai sebuah organisasi pengganas.

Penahanan Badie dibuat selepas kumpulan yang disyaki militan Islam menyerang hendap dua buah bas yang membawa sekumpulan pegawai polis di Semenanjung Sinai pada Isnin lalu. Serangan itu membunuh 25 orang pegawai polis.

Serangan yang menyasarkan pasukan keselamatan kian meningkat sejak Morsi digulingkan. Morsi kini masih ditahan di lokasi tidak diketahui. Beliau juga berdepan tuduhan berkonspirasi dengan kumpulan Hamas dari Palestin untuk melarikan diri dari penjara sewaktu kebangkitan rakyat berlaku di Mesir pada tahun 2011. - AFP/KOSMO! 

No comments:

Post a Comment