My Add

Tuesday 6 August 2013

Pemimpin Pas jangan berdolak-dalik dalam isu Syiah - Razali Ibrahim

MUAR, ISNIN, 5 Ogos, 2013: Beberapa pemimpin tertinggi Pas yang dikaitkan dengan Syiah diminta tidak berdolak-dalik dan perlu berani menyatakan pendirian sama ada terlibat atau tidak, kerana fahaman itu berbahaya serta terkeluar daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, pemimpin Pas berkenaan perlu memahami bahawa perkara itu bukan bersifat politik tetapi melangkaui sempadan kepartian kerana Syiah sudah diisytiharkan sebagai musuh Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, Malaysia menolak dan mengharamkan Syiah bukan untuk menolak Pas tetapi disebabkan beberapa pemimpin atau ahlinya mengikuti ajaran tersebut yang telah pun difatwakan sesat.

"Soal pemimpin Pas yang tidak mahu mengaku mengikut ajaran Syiah, itu perkara bisa, malahan kita tidak terkejut ada yang akan tuduh UMNO atau Barisan Nasional (BN) di belakang perkara ini.

"Tindakan mengekang penularan Syiah tiada kena mengena dengan mana-mana parti politik," katanya mengulas mengenai beberapa pemimpin Pas yang dikaitkan dengan ajaran Syiah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Khatam al-Quran, Penyampaian Sumbangan dan Iftar Ramadan Parlimen Muar di Surau Al-Falah, Sungai Balang Benteng Darat, dekat sini semalam.

Pada 2 Ogos lalu, sesetengah pimpinan Pas menyelar dan memperkecilkan usaha media arus perdana membuat paparan besar-besaran tentang ancaman Syiah di negara ini namun Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berpendirian sebaliknya dengan menghargai pendedahan media dan menyifatkan Syiah dan golongan sekular sebagai bodoh dan sesat.

Laporan media arus perdana termasuk Utusan Malaysia tentang isu Syiah seolah-olah diperlekehkan apabila ada pemimpin Pas seperti Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa pendedahan isu itu sengaja dilakukan untuk memecah-belahkan parti itu sebagaimana dilaporkan lidah rasminya Harakah.

Malah, seorang lagi Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dilaporkan memberi ulasan sinis: "Syiah itu benda apa? Kuih berbuka puasa? Saya pun tak tahu apa Syiah. Ingat kuih buka puasa. Kawasan saya buat bubur lambuk sahaja."

Mengulas lanjut, Razali berkata, banyak pihak terkejut dengan pendedahan Syiah di negara ini dan fahaman tersebut merupakan satu ancaman kepada umat Islam kerana menjadi musuh yang akan merosakkan agama itu dari dalam.

Katanya, sudah cukup agama suci itu diganggu gugat oleh orang bukan Islam ketika ini dan untuk itu meminta masyarakat Islam memberi kerjasama membendung Syiah dengan melihat usaha tersebut menerusi kepentingan agama dan bukan politik. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment