My Add

Wednesday 21 August 2013

Pemotong rumput warga Indonesia ditemui mati

JOHOR BAHRU, RABU, 21 Ogos, 2013: Seorang pemotong rumput warga Indonesia ditemui mati dipercayai dibunuh di sebuah kawasan taman perumahan di Permas Jaya, di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Supritendan Abdul Samad Salleh berkata mangsa, Abdurrahim, 35, berasal dari Tanjung Luar, Indonesia, ditemui mati di dalam parit dengan beberapa kesan tikaman di badan.

"Siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai berlaku antara pukul 12 hingga 12.30 tengah hari semalam.

"Abdurrahim mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dia juga mempunyai permit kerja," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Samad berkata polis dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 4.59 petang semalam dan motif kejadian masih disiasat.

Sehubungan itu, orang ramai diminta mengesan seorang rakan mangsa dikenali sebagai Suhendro Lumban Tobing, 23, berasal dari Medan, Indonesia yang dipercayai boleh membantu siasatan kes itu.

Lelaki berkenaan yang memegang pasport bernombor A2447346 juga seorang pemotong rumput di perumahan sama, katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Samad mengingatkan peminat bola sepak agar tidak membawa masuk sebarang bahan letupan ke dalam stadium di sini, semasa menyaksikan perlawanan bola sepak sempena musim Piala Malaysia.

Beliau berkata, larangan membawa 'flare', mercun, bom asap atau lain-lain ahan letupan itu bertujuan mengelak berlaku provokasi di antara penonton selain mencegah kerosakan dan kejadian tidak diingini.

"Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 terhadap mana-mana individu yang didapati mengingkari larangan terbabit," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment