My Add

Wednesday 21 August 2013

Pemuda UMNO tolak sistem CCRIS

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR, SELASA, 20 Ogos, 2013: Pergerakan Pemuda UMNO tidak bersetuju dengan langkah kerajaan menyenaraihitamkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membayar balik pinjaman di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sepatutnya kerajaan mengguna pakai segala mekanisme kutipan serta tindakan sedia ada ke atas peminjam-peminjam yang enggan melunaskan hutang PTPTN mereka dan bukannya menyenaraihitamkan.

Malah, beliau berkata, keutamaan hendaklah diberi kepada tindakan bersepadu dengan mengambil kira pemberian insentif bayaran balik serta kaedah pembayaran anjal berasaskan kepada situasi semasa peminjam.

''Pinjaman PTPTN amat berbeza dengan hutang kad kredit atau kenderaan kerana tidak tergolong dalam pinjaman berasaskan pilihan peribadi,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa bermula Ogos ini, lebih 400,000 peminjam (PTPTN) yang gagal membayar balik pinjaman mereka akan disekat daripada melakukan sebarang pinjaman dari mana-mana institusi kewangan di negara ini.

Idris berkata, bagi melaksanakan tindakan itu, PTPTN akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyenaraikan peminjam yang gagal membayar balik pinjaman melalui CCRIS.

Khairy berkata, harus diakui bahawa pinjaman PTPTN bersifat keperluan memandangkan kerajaan tidak menawarkan pendidikan percuma sepenuhnya di institusi pengajian tinggi.

''Keperluan memiliki kelulusan sama ada diploma mahupun ijazah (pada masa ini) adalah penting bagi pembangunan kerjaya dan intelektual seseorang anak muda,'' ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, bilangan peminjam tegar yang tidak melunaskan sebarang pembayaran balik adalah kecil.

''(Oleh itu) tindakan penyenaraian hitam sebegini boleh memberi tanggapan negatif kepada segala gerak kerja PTPTN di dalam memastikan anak muda yang ingin melanjutkan pengajian mereka ke peringkat tinggi dibantu,'' katanya lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment