My Add

Tuesday 6 August 2013

Pencetak al-Quran terbesar

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

 * NAJIB menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) yang diwakili Izham Yusoff (kanan) dan Yayasan Restu yang diwakili Abdul Latif Mirasa semasa melancarkan Pusat Percetakan al-Quran Mushaf Malaysia di Ibu Pejabat PNMB di Kuala Lumpur, semalam. - bernama
KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia berhasrat untuk muncul sebagai negara kedua terbesar pencetak kitab suci al-Quran selepas Madinah al-Munawwarah (Arab Saudi).

Sehubungan itu, beliau berkata, jalinan kerjasama antara Yayasan Restu dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) mewujudkan Pusat Percetakan al-Quran Mushaf Malaysia boleh disifatkan sebagai usaha awal bagi mencapai hasrat tersebut.

Pada masa sama, beliau turut menyifatkan inisiatif tersebut sebagai satu manifestasi kegigihan kerajaan dalam usaha meninggikan syiar Islam tanpa mengenal erti jemu dan penat.

"Langkah ini adalah amat tepat dan terbaik sekali dan insya-Allah Malaysia mampu muncul sebagai pusat percetakan al-Quran yang kedua terbesar di dunia ini.

"Ini merupakan satu impian yang saya sendiri dukung dan sokong sepenuhnya," katanya ketika berucap melancarkan penubuhan Pusat Percetakan al-Quran Mushaf Malaysia di PNMB di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi PNMB, Tan Sri Dr. Zulkifli A. Hasan; Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa dan Pengarah Urusan PNMB, Izham Yusoff.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, majlis itu juga telah mengukir sejarah baharu bagi Malaysia dalam peranannya sebagai pelengkap kepada agenda Islam dalam transformasi negara.

Beliau berkata, usaha berkenaan bertepatan dengan maksud firman Allah;

"Hendaklah kamu bantu- membantu untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, janganlah pula kamu bantu-membantu pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan (melampaui batas-batas ajaran Allah); dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat besar azab-Nya."

Sementara itu, Abdul Latiff ketika ditemui berkata, pihaknya menyasarkan Malaysia bakal muncul sebagai negara kedua terbesar pencetak kitab suci al-Quran dalam tempoh lima tahun.

Untuk itu, beliau berkata, Malaysia perlu mengeluarkan al-Quran sekurang-kurangnya melebihi satu juta naskhah setahun.

"Berbanding sekarang, kemampuan kita hanya setakat 200,000 hingga 300,000 setahun,'' katanya lagi. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment