My Add

Tuesday 6 August 2013

Penduduk luar bandar yakin komitmen kerajaan majukan Sabah

KUALA LUMPUR, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Penduduk kawasan luar bandar di Sabah yakin komitmen Kerajaan Persekutuan yang telah memperuntukkan RM2 bilion untuk melaksanakan 79 projek pembangunan infrastruktur asas luar bandar akan membawa manfaat besar kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

Seorang daripada Ketua Daerah Kota Belud, Amirshatungking Kantiong, 60, berkata, usaha melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan begitu prihatin dengan keperluan terhadap pembangunan berkenaan di Sabah.

"Ini satu kebaikan. Ia satu komitmen yang baik daripada Kerajaan Persekutuan yang memberi manfaat kepada rakyat di Sabah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal baru-baru ini mengumumkan peruntukan RM2 bilion untuk melaksanakan 79 projek pembangunan infrastruktur asas luar bandar di Sabah dan Sarawak.

Melalui pengumuman itu, Mohd. Shafie berkata, kerajaan komited mengatasi masalah kemudahan infrastruktur dan pembangunan ekonomi luar bandar melalui pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Luar Bandar (PIPLB) yang berteraskan Program Transformasi Luar Bandar.

Mengulas lanjut Amirshatungking berkata, sepanjang 10 tahun berkhidmat sebagai Ketua Daerah Kota Belud, beliau melihat pelbagai pembangunan yang dilaksanakan di Sabah termasuk di Parlimen Kota Belud berjalan dengan lancar.

"Walaupun keperluan itu masih belum terlaksana 100 peratus, namun apa yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan di Sabah sangat memuaskan bagi memenuhi keperluan itu melalui perancangan yang telah diatur," katanya.

Katanya, Kota Belud yang merangkumi kawasan yang begitu luas memerlukan banyak keperluan asas terutama jalan raya yang elok, bekalan air yang bersih dan elektrik.

Sementara itu Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin berkata, Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) perlu terus fokus dan giat dalam mengenal pasti setiap kawasan Parlimen termasuk di Sabah dan Sarawak yang masih dahagakan pembangunan seimbang terutama kemudahan asas.

Sambil melahirkan rasa puas hati dengan komitmen yang ditunjukkan KKLW dalam perkara itu, beliau yakin masih ada lagi kawasan yang belum terjangkau dari aspek penyaluran bekalan air, elektrik serta jalan raya.

Beliau menarik perhatian masalah yang dihadapi kira-kira 17 jalan kampung di Kinabatangan yang mana ada sebahagian jalan berkenaan tidak dapat digunakan selama dua hingga tiga minggu jika hujan lebat berlarutan tiga hari.

Bung Mokhtar berkata, pembangunan wilayah tidak seimbang antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak sudah lama disuarakan dan masalah yang dihadapi melibatkan pembangunan perkara-perkara asas seperti bekalan elektrik, air dan projek jalan-jalan kampung.

"Justeru, dalam tempoh lima tahun ini selaras dengan manifesto Barisan Nasional (BN) 'Janji Ditepati', saya yakin dan berharap KKLW dapat mempertingkatkan usaha mengenal pasti setiap kawasan Parlimen yang masih kekurangan kemudahan asas ini.

"Mungkin perlu dirancang dalam beberapa tahun ini, berapakah jumlah kawasan yang perlu dapat bekalan air bersih, berapa lagi yang masih belum lagi dapat bekalan elektrik dan sebagainya," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment