My Add

Tuesday 13 August 2013

Penduduk masih trauma insiden

 * BEBERAPA anggota polis memeriksa lokasi kejadian letupan bom di Taman Sri Periuk, Tumpat, semalam.
TUMPAT, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Insiden letupan bom yang meragut nyawa seorang kerani, Mohd. Yusrizal Mat Zain, 32, di Taman Sri Periuk dekat sini, semalam masih dirasai oleh kebanyakan penduduk di kawasan berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata penduduk di taman perumahan berkenaan mengakui masih trauma dengan kejadian tersebut.

Seorang penduduk, Kamaruddin Che Mat, 56, mengakui perasaan takut masih menyelubungi dia dan keluarga sehingga anak-anaknya takut untuk tidur berseorangan.

Menurutnya, kebanyakan penduduk mengambil pendekatan untuk tidak keluar rumah terutama pada waktu malam ekoran kejadian tersebut.

"Jadi saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil langkah segera untuk mengelakkan kejadian ini daripada berulang.

"Ini merupakan kejadian pertama berlaku dalam sejarah hidup saya. Jika sebelum ini hanya berlaku di negara jiran, namun kali ini berlaku di hadapan mata," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, seorang kerani maut dengan kedua-dua belah tangannya putus setelah mengambil satu bungkusan dipercayai mengandungi bahan letupan yang ditinggalkan di atas bumbung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di halaman rumah mentuanya di Taman Sri Periuk, dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mangsa, Mohd. Yusrizal Mat Zain, 32, yang bertugas sebagai kerani di Sekolah Kebangsaan Kuala Krai meninggal dunia di tempat kejadian.

Tinjauan Utusan Malaysia juga mendapati kawasan perumahan menjadi lengang meskipun umat Islam masih meraikan Syawal yang kini masuk hari kelima.

Selain itu, beberapa anggota polis dilihat masih menjalan siasatan lanjut dengan membuat pemeriksaan di lokasi kejadian.

Seorang lagi penduduk, Ibrahim Mat Amin, 65, memberitahu, dia masih terkejut dengan kejadian yang menimpa jirannya itu.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat mengambil langkah segera untuk membendung kejadian seperti itu daripada terus berulang. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment