My Add

Saturday 17 August 2013

Pengakuan salah - Khairy

Oleh KAMIL MASLIH

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Keputusan DAP untuk mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) merupakan 'pengakuan salah' bahawa pemilihan yang diadakan parti itu tahun lalu mempunyai banyak kepincangan.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, tindakan DAP yang selama ini melengah-lengahkan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk melakukan pemilihan semula tersebut disifatkan sebagai 'isu politik yang sengaja diada-adakan'.

Beliau berkata, perkara itu telah dijadikan isu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dengan DAP menuduh ROS akan membatalkan pendaftarannya menjelang pilihan raya untuk menimbulkan simpati ramai.

"Namun, akhirnya mereka (DAP) akur kepada ROS. Bagi saya, perkara ini telah dipolitikkan sedangkan mereka tahu mereka salah," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Pertandingan Dasar Awam Malaysia di Universiti Sunway di sini hari ini.

Semalam, DAP akhirnya akur dengan arahan ROS untuk mengadakan pemilihan semula CEC dan secara tidak langsung mengakui ketetapan ROS akhir tahun lalu bahawa pemegang-pemegang jawatan yang dibentuk oleh CEC pada 15 Disember lepas adalah tidak sah.

Isu pemilihan CEC DAP tahun lalu, menimbulkan keraguan kerana didakwa berlaku wujud penyelewengan selepas parti itu dikatakan gagal memberi notis kepada 753 perwakilan yang merupakan ahli sah untuk mengundi.

Menurut Khairy, walaupun DAP akhirnya akur untuk melakukan tindakan yang betul, namun tempoh terlalu panjang untuk keputusan itu dibuat menjadi persoalan.

"Jelas sekali, mereka hanya tahu mempolitikkan keputusan agensi kerajaan tetapi bila mereka sudah tiada pilihan lain, baru mereka hendak setuju," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai landskap politik Malaysia, Khairy yang merupakan Menteri Belia dan Sukan berharap masyarakat negara ini akan membentuk kematangan untuk menilai isu berdasarkan fakta dan bukannya emosi.

"Kita perlu melihat senario politik berdasarkan polisi, bukannya berdasarkan personaliti atau ideologi.

"Kadang-kala kita terlalu memberi ruang kepada emosi sehingga sesuatu polisi gagal dilaksanakan, tidak kira sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment