My Add

Sunday 4 August 2013

Pengarang The New Paper kesal, laporan muka depan dianggap menghina

SINGAPURA, : Pengarang akhbar The New Paper, Dominic Nathan melahirkan kekesalan berikutan laporan muka depannya mengenai jenayah di Malaysia dianggap sebagai menghina.

Sebagai respons kepada persoalan dari Bernama, beliau berkata: "Kami kesal bahawa tajuk berita The New Paper dianggap sebagai menghina.

"Ia bukan niat kami. Kami mahu menarik perhatian pembaca terhadap ancaman keganasan senjata di Malaysia.

"Apa yang kami laporkan turut mendapat liputan meluas oleh media Malaysia," katanya.

Akhbar The New Paper pada 31 Julai, telah menerbitkan sebuah artikel bertajuk 'Selamat datang ke Malaysia di mana ... kematian adalah murah dan untuk kekal hidup sangat mahal' yang turut menyatakan bahawa untuk mengupah seorang pembunuh hanya memerlukan $2,000 (RM5,000).

Artikel berkenaan menerima maklum balas negatif dari pelbagai pihak yang menyatakan ia tidak beretika dan menggesa agar akhbar harian itu memohon maaf kepada Malaysia kerana menghina.

Sabtu lalu, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataan berkata tajuk berita akhbar tersebut mempunyai niat jahat dan menyebarkan tanggapan salah tentang keadaan keselamatan di Malaysia. 

Anifah turut menggesa agar The New Paper tidak mensensasikan apa-apa perkara yang boleh memberi kesan menjejaskan ke atas mana-mana pihak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pula menyifatkan laporan muka depan akhbar Singapura, The New Paper mengenai kejadian jenayah di Malaysia baru-baru ini, sebagai berniat jahat.

Beliau dipetik sebagai berkata akhbar berkenaan sepatutnya mengawasi hal ehwal jenayah di dalam negara sendiri daripada membuat spekulasi yang tidak benar mengenai jenayah di Malaysia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment