My Add

Thursday 22 August 2013

Pengecualian cukai disambut baik - NGO

 Mohamad Ali Hasan, Nadzim Johan

KUALA LUMPUR, RABU, 21 Ogos, 2013: Cadangan untuk memberi pelepasan cukai kepada ibu bapa yang memperuntukkan perbelanjaan dalam bidang pendidikan termasuk penghantaran anak-anak ke sekolah swasta dan tuisyen disambut baik pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Walau bagaimanapun, mereka meminta kerajaan supaya mewujudkan satu mekanisme terbaik untuk memantau sekolah swasta dan pusat tuisyen terlebih dahulu agar institusi-institusi pendidikan berkenaan tidak menaikkan kadar yuran sesuka hati selepas cadangan itu dilaksanakan.

Dalam menangani hal tersebut, kerajaan dicadangkan untuk mengeluarkan garis panduan kadar yuran kebangsaan bagi tuisyen serta sekolah swasta dan pada masa sama menggerakkan penguatkuasaan sekiranya gagal dipatuhi.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, pengecualian cukai itu perlu diperluaskan kepada ibu bapa yang membiayai bayaran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan dana sekolah anak masing-masing.

“Kita melihat pengecualian ini sememangnya mampu memberi peluang kepada golongan ibu bapa dan pelajar memperkasakan pendidikan negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kerajaan akan meneliti cadangan untuk memberikan pelepasan cukai kepada ibu bapa yang memperuntukkan perbelanjaan dalam bidang pendidikan termasuk penghantaran anak-anak ke sekolah swasta dan tuisyen.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan memberitahu, cadangan tersebut akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang mengumpul pelbagai saranan dan idea untuk polisi-polisi baharu dalam Bajet 2014 yang bakal dibentangkan Oktober ini.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, cadangan tersebut akan memberi manfaat kepada ramai pihak terutama golongan memerlukan.

Jelas beliau, persepsi kononnya sekolah swasta majoritinya terdiri daripada golongan berkemampuan dan tidak memerlukan sebarang bantuan perlu dibuang memandangkan tanggapan tersebut adalah tidak tepat.

Menurutnya, sekolah swasta turut menempatkan pelajar-pelajar kurang berkemampuan tetapi terpaksa belajar di situ termasuk golongan kurang upaya.

“Semua pihak perlukan bantuan, jangan timbul sebarang diskriminasi terhadap pendidikan. Kami melihatnya sebagai salah satu ganjaran daripada kerajaan terhadap rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP), Samsudin Mohamad Fauzi berkata, penelitian terhadap langkah pengecualian cukai itu perlu dilakukan dengan penglibatan semua pihak terutama pengendali sekolah swasta dan tuisyen.

“Kerajaan perlu memberi kata dua kepada sekolah swasta dan tuisyen agar tidak menaikkan bayaran sesuka hati selepas inisiatif ini dilaksanakan. Langkah ini perlu agar golongan sasar menerima manfaat daripada pengecualian cukai ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment