My Add

Sunday 11 August 2013

Penjenayah gagal larikan wang ATM

Oleh NORAZRIN MARZUKI

KUALA LUMPUR, SABTU, 10 Ogos, 2013: Meskipun sudah berjaya mengumpil sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Laman Rimbunan Raya, Kepong di sini, namun dua penjenayah terpaksa pulang dengan tangan kosong apabila gagal mengeluarkan wang lebih RM231,000 dari mesin itu hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, dua lelaki memakai jaket sukan, topeng jerebu dan topi berusaha mengumpil mesin ATM tersebut selepas memotong wayar penggera dan mengalihkan kamera litar tertutup (CCTV) di dalam bank berkenaan.

Menurut sumber, penjenayah bagaimanapun berputus asa dan pulang dengan tangan kosong apabila gagal membuka peti simpanan berisi wang lebih RM231,000 setelah puas berusaha.

"Suspek sudah berjaya menanggalkan salah satu komponen di bahagian ruang keluar wang tetapi masih gagal memecahkan peti simpanan itu dan mendapatkan wang di dalamnya.

"Polis yang menjalankan siasatan menemui alat komponen yang ditanggalkan itu di atas jalan kira-kira 23 meter dari mesin ATM berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini..

Sumber berkata, suspek juga tidak menyedari kegiatan jenayah mereka berjaya dirakamkan sepenuhnya oleh CCTV yang diletakkan di bahagian luar pintu masuk bank berkenaan.

Beliau berkata, ini kerana suspek hanya mengalihkan CCTV yang terdapat dalam premis tanpa menyedari ada satu lagi CCTV diletakkan menghala pintu masuk bank berkenaan.

Katanya, pihak polis sedang meneliti rakaman CCTV tersebut untuk menjejaki kedua-dua suspek.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment