My Add

Sunday 11 August 2013

Perintah berkurung di Kashmir

* TENTERA India melepaskan gas pemeidh mata bagi menyuraikan tunjuk perasaan di Srinagar, Kashmir, semalam. - Agensi
SRINAGAR, SABTU, 10 Ogos, 2013: Tentera India, hari ini melepaskan beberapa das tembakan bagi menguatkuasakan perintah berkurung di wilayah Kashmir yang dikuasai India, sekali gus memaksa penduduk yang berang pulang ke rumah masing-masing.

Sekurang-kurangnya dua terbunuh, manakala 24 lagi cedera dalam pertempuran antara penganut Islam dan Hindu semasa sambutan Aidilfitri, semalam.

Menurut Pengarah Polis negeri, Ashok Prasad, situasi semasa agak tegang, walaupun tiada keganasan baharu dilaporkan hari ini.

''Perintah berkurung kini dikuatkuasakan. Kami tidak memberi sebarang peluang ketika situasi semasa boleh memberi kesan buruk kepada seluruh negara,'' katanya.

Prasad berkata, polis sedang berusaha mengenal pasti dalang dalam kejadian itu.

Tentera India yang menggunakan kenderaan perisai melalui jalan-jalan di Kishtwar, sebuah bandar kira-kira 200 kilometer ke tenggara Srinagar yang menyaksikan kumpulan-kumpulan terlibat menyerang satu sama lain dengan senjata api, batu dan kayu, semalam.

Menurut polis, beberapa buah kedai, dua buah hotel dan sebuah stesen minyak dibakar oleh perusuh.

Keganasan antara agama itu berlaku semalam selepas penganut Hindu membantah laungan slogan pro kemerdekaan oleh penduduk Islam semasa cuti Aidilfitri.

Menurut polis yang tidak mahu dikenali, seorang penduduk Islam dibakar sehingga mati, manakala seorang penganut Hindu maut akibat terkena tembakan dalam pertempuran semalam.

Katanya, sebanyak 24 penduduk menerima rawatan di hospital akibat cedera ringan.

Perasaan anti-India amat menebal di Kashmir dengan berpuluh-puluh kumpulan pemberontak bangkit menentang kerajaan sejak 1989 mengakibatkan lebih 68,000 orang kebanyakan orang awam, terbunuh. - AGENSI

No comments:

Post a Comment