My Add

Sunday 4 August 2013

Perlu rasional tangani isu TPPA

KUALA LUMPUR, SABTU, 03 Ogos, 2013: Jaringan Melayu Malaysia (JMM) tidak akan sesekali bersetuju sekiranya hak dan kepentingan rakyat negara ini terutama golongan bumiputera dikorbankan jika Malaysia memuktamadkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Walau bagaimanapun, Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, semua pihak perlu lebih rasional dalam isu TPPA dan dalam masa sama keluar daripada kepompong pemikiran sempit atau terlampau konservatif.

Beliau berkata, perjanjian yang bakal melibatkan hubungan dagang dan pelaburan dengan sebanyak 12 negara itu termasuk kuasa ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat, Jepun, Kanada dan Australia seharusnya dilihat dari sudut kepentingan negara dan suasana global.

"Kita tidak perlu bimbang kerana Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed sudah berkali-kali memberi jaminan TPPA masih belum dimuktamadkan dan hanya akan dimuktamadkan dalam cara yang memberi faedah kepada rakyat.

"Memelihara kepentingan nasional dan kedaulatan negara adalah keutamaan paling tinggi dalam apa jua perundingan perdagangan termasuk TPPA," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Usahawan Internet Malaysia, sebuah persatuan di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu menggesa kerajaan tidak menandatangani TPPA yang didakwa bukan sahaja menyekat hak bersuara rakyat malah boleh 'membunuh' industri kreatif tempatan.

Menyentuh isu sama, Azwanddin berkata, tidak salah mana-mana pihak mengkritik hasrat Malaysia menyertai TPPA namun kritikan itu seharusnya lebih bersifat membina, bukannya secara beremosi.

Menurut beliau, adalah tidak wajar usaha yang cuba memperluas industri perdagangan dan pelaburan negara ke gelanggang antarabangsa itu dituduh sebagai tidak patriotik serta 'menjual negara' kepada kuasa asing.

Fakta yang perlu dikaji dengan teliti dalam isu itu adalah TPPA menawarkan Malaysia peluang menjadi sebahagian daripada pasaran pengguna yang mempunyai kira-kira 800 juta penduduk.

"Jika Malaysia membuat keputusan untuk tidak menyertai TPPA, itu bermakna kita akan membenarkan negara-negara lain menetapkan perjanjian tanpa mengambil kira kepentingan dan kebimbangan Malaysia.

"Ini akan merugikan Malaysia terutama dalam proses kita mencari akses pasaran yang lebih besar dan lebih baik bagi memasarkan produk dan perkhidmatan keluaran negara," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment