My Add

Tuesday 13 August 2013

Pesta bertuntung masyarakat Melayu Sarawak ceriakan Aidilfitri

KUCHING, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Pesta bertuntung merupakan tradisi masyarakat Melayu Sarawak yang bermula
pada malam tujuh likur sehingga tujuh hari pertama Syawal.

Pesta ini merupakan antara acara kemuncak kepada umat Islam, khususnya masyarakat Melayu menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri.

Sepanjang pesta ini berlangsung, hampir setiap pekarangan rumah di kampung-kampung Melayu bertukar wajah menjadi terang-benderang.

Selain diterangi cahaya pelita minyak tanah, rumah tersebut juga bergemerlapan dengan pelbagai jenis lampu yang berwarna-warni.

Malah ada yang sanggup berbelanja ratusan atau ribuan ringgit semata-mata mahu membeli lampu dan perhiasan tambahan bagi memeriahkan pesta bertuntung di kampung masing-masing.

Bagi yang kreatif pula, mereka akan membina pintu gerbang di setiap pintu masuk kampung atau di depan rumah masing-masing.

Seorang penduduk, Yassin Hasbi, 64, bagaimanapun mengakui tidak pernah ketinggalan menghias rumah dengan pelita minyak tanah dan lampu hiasan saban tahun.

Katanya, selain untuk kepuasan peribadi, usahanya itu diharap dapat menanam minat sama terhadap anak dan cucunya.

"Tahun lepas rumah saya memenangi tempat kedua dalam pertandingan bertuntung di peringkat kampung. Hadiahnya RM200, nampak tidak berbaloi dengan tenaga dan perbelanjaan yang lain.

"Namun, berhasil menceriakan persekitaran rumah sendiri dengan pelita dan lampu warna warni serta sebuah pintu gerbang sudah cukup memberi kepuasan kepada saya," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment