My Add

Monday 5 August 2013

Peti besi premis judi cuba dilarikan, 2 lelaki diberkas

KUANTAN, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Dua lelaki bukan sahaja gagal melarikan sebuah peti besi seberat 100 kilogram malah diberkas polis selepas memecah masuk sebuah premis judi di Jalan Haji Ahmad di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, kedua-dua suspek berusia 47 dan 31 tahun itu ditahan semasa cuba melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Proton Viva di Jalan semambu di sini kira-kira jam 3 pagi.

"Polis menerima maklumat berkenaan kejadian terbabit pada jam 2.18 pagi sebelum memulakan gerakan memburu suspek. Hasil maklumat orang ramai kereta suspek berjaya dikesan sebelum polis menahan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, polis menemui sebuah peti besi itu di but kereta yang didewa itu selain beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah mereka seperti kuku kambing, pemotong besi dan tukul besi.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang berusia 31 tahun mempunyai enam rekod jenayah lampau termasuk kes pecah rumah, cubaan membunuh dan dadah.

"Polis juga percaya kedua-dua suspek yang berasal dari Kuala Lumpur itu berkemungkinan ada terlibat dengan jenayah lain. Suspek kini ditahan reman sehingga 8 Ogos ini untuk siasatan," katanya.

Sementara itu, pemilik premis berkenaan, Low Chee Ooh, 43, ketika ditemui pemberita berkata dia menyedari premisnya dipecah masuk pada jam 9.15 pagi ini dan mendapati mangga kunci belakang kedai telah dipotong dan peti besi seberat 100 kilogram yang mengandungi wang tunai dilarikan.

"Saya bergegas membuat laporan polis di Balai Polis Air Putih kira-kira jam 10 pagi tadi bagaimanapun terkejut selepas dimaklumkan suspek terbabit telah diberkas polis.

"Mujur wang tunai di dalam peti besi itu tidak banyak kerana saya telah simpan di dalam bank semalam. Terima kasih kepada polis terlibat kerana bertindak segera memberkas perompak itu," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment