My Add

Saturday 3 August 2013

Pilihan raya masjid dipertikai

Oleh OTHMAN YAHAYA

* SEBAHAGIAN ahli kariah mengadakan demonstrasi secara aman bagi membantah keputusan MAIPP melantik kumpulan kalah menerajui ahli jawatankuasa masjid di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.
KEPALA BATAS, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Kira-kira 800 kariah Masjid Jamek Bakar Kapor di sini berhimpun bagi membantah tindakan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) mengetepikan suara ramai dalam pemilihan jawatankuasa masjid itu yang diadakan baru-baru ini.

Mereka mendakwa MAIPP mempunyai muslihat tertentu yang dikesan lebih menjurus kepada agenda politik.

Bekas pengerusi kariah masjid berkenaan, Zakaria Jaafar, 65, berkata, MAIPP seolah-olah tidak melaksanakan pengurusan masjid dengan telus.

"Hairan sekali keadaan sebegini boleh berlaku kerana pemilihan ahli jawatankuasa masjid ini dibuat atas arahan MAIPP dan sepatutnya pihak yang menang diangkat menjadi pentadbir.

"Sebaliknya, tiga jawatan penting dimenangi barisan ahli jawatankuasa lama tidak diiktiraf dan kumpulan kalah pula disenaraikan sebagai pentadbir baharu masjid ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zakaria yang lebih 20 tahun dipilih sebulat suara menjadi pengerusi kariah berkenaan boleh menerima keputusan tersebut jika dia kalah dalam pemilihan itu.

"Saya memenangi jawatan itu dengan jumlah undi banyak, sebaliknya apabila senarai pentadbir baharu dikeluarkan oleh MAIPP, calon yang kalah pula diangkat sebagai pengerusi.

"Begitu juga dengan jawatan setiausaha dan bendahari yang dimenangi oleh barisan ahli jawatankuasa lama melalui jumlah undi yang juga besar tetapi pihak kalah masih diberi jawatan tersebut," katanya.

UMNO negeri baru-baru ini melahirkan rasa kesal dengan proses pilihan raya bagi memilih jawatankuasa masjid yang sedang berlangsung kerana tidak telus dan tidak mengikut prinsip demokrasi seperti sering dilaung-laungkan oleh pembangkang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, pihaknya menerima maklumat ada dalam kalangan calon yang kalah tetap dipilih memegang jawatan dalam jawatankuasa kariah masjid .

Sebaliknya, jelas beliau, calon yang menang pula disingkir dan tidak mendapat tempat dalam jawatankuasa berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment