My Add

Tuesday 6 August 2013

PM rasmi Hari Peneroka 2013

MUAR, ISNIN, 05 Ogos, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyempurnakan sambutan Hari Peneroka 2013 peringkat Kebangsaan kali ke-57 di Felda Sungai Tiang, Pendang, Kedah pada 16 Ogos ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, disasarkan lebih 15,000 peneroka akan menghadiri sambutan tahunan tersebut yang dijadual bermula seawal pukul 10 pagi.

"Bagi memeriahkan majlis peringkat kebangsaan ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir akan turut hadir. Seperti biasa kita akan umumkan beberapa anugerah termasuk anugerah tokoh peneroka bagi kali ini.

"Sambutan pada kali ini juga adalah untuk menghargai peneroka yang mana sebahagian besar pencapaian kita disumbangkan mereka," katanya ketika ditemui pada Majlis Khatam al-Quran, Penyampaian Sumbangan dan Iftar Ramadan Parlimen Muar di Surau Al-Falah, Sungai Balang Benteng Darat, dekat sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Yayasan Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Isa Abdul Samad; Pengerusi Media Prima, Datuk Johan Jaaffar dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Eksekutif Yayasan Felda, Datuk Dr. Emel Faizal Mohd. Mokhtar.

Pada majlis tersebut, Razali yang juga Ahli Parlimen Muar menyerahkan sumbangan kepada 500 penerima dari seluruh daerah ini yang terdiri daripada anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).

Yayasan Felda menyumbang 215 buku ilmiah, dua unit al-Quran digital, surah Yassin dan lima set pembesar suara kepada surau berkenaan melalui program itu yang dianjurkan Pusat Khidmat Parlimen Muar, Yayasan Felda, Media Prima dan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, Isa semasa berucap, memberi keyakinan bahawa penurunan harga minyak kelapa sawit yang berlaku sekarang ini bersifat sementara dan pasaran komoditi tersebut akan pulih seperti biasa tidak lama lagi.

Meskipun begitu, katanya, kehidupan masyarakat Felda masih lagi dalam keadaan selesa dan mereka dapat melakukan ibadah Ramadan dengan baik serta tidak menjejas persiapan menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Katanya, turun naik harga kelapa sawit adalah perkara biasa seperti juga komoditi lain iaitu ada masa harganya naik dan ada pada ketikanya menurun namun keuntungan Felda pada keseluruhan masih lagi baik.

"Felda juga masih dapat menyalurkan sebahagian daripada keuntungannya kepada Yayasan Felda yang kemudian digunakan untuk membantu golongan tidak bernasib baik termasuk di luar kawasan tanah rancangan tersebut," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment