My Add

Thursday 8 August 2013

Polis gempur sarang penagih

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
 
 * HARUN Idris menunjukkan motosikal Modenas Kriss yang dicuri seorang bekas banduan selepas sidang akhbar di IPD Ledang, Johor, semalam.
LEDANG, RABU, 07 Ogos, 2013: Polis memberkas 20 lelaki kerana terlibat dalam kegiatan menagih dadah dalam operasi pembanterasan yang dijalankan selama seminggu di daerah ini.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Harun Idris berkata, operasi dijalankan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang itu menumpukan kepada lokasi yang menjadi tumpuan penagih tegar.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut menemui sejumlah dadah daripada enam penagih yang ditangkap.

"Penagih berusia 18 hingga 41 tahun itu paling ramai ditangkap di kawasan Tangkak dan Sungai Mati.

"Kesemua mereka tidak bekerja dan merupakan penagih tegar. Lima orang yang ditahan didapati mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dalam sidang akhbar di IPD Ledang di sini hari ini.

Menurutnya, dadah yang dirampas dalam serbuan itu ialah syabu seberat 5.23 gram dan heroin 0.5 gram.

Beliau berkata, kesemua penagih yang ditahan direman sehingga 10 Ogos ini untuk siasatan lanjut di bawah Sesyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan lain, Harun berkata, polis turut menahan seorang penagih di rumahnya di Jalan Hospital, Tangkak pada pukul 1.20 petang, 31 Julai lalu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal.

"Pemeriksaan terhadap suspek yang juga bekas banduan berusia 21 tahun itu mendapati dia positif dadah jenis syabu.

"Dia disyaki terlibat mencuri sebuah motosikal Modenas Kriss yang dilaporkan hilang di Tangkak pada awal Julai lalu," katanya.

Beliau berkata, suspek seorang penganggur berasal dari Tangkak pernah dipenjara selama sebulan kerana terlibat dalam kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan enam bulan penjara di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan pada 2010.

Katanya, bagi kes terbaharu ini, suspek disiasat di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan dan masih direman untuk siasatan lanjut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment