My Add

Saturday 3 August 2013

Polis minta anak lelaki Hussain Najadi kemari bantu siasatan

 * MANGSA meninggal di tempat kejadian.
KUALA LUMPUR, SABTU, 03 Ogos, 2013: Polis meminta anak lelaki pengasas kumpulan perbankan Arab Malaysia, Hussain Ahmad Najadi, untuk datang ke negara ini bagi membantu siasatan berhubung kematian bapanya, yang ditembak mati, Isnin lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata Pascal Najadi, yang kini berada di Russia, tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan, dakwaan atau penafian di mana-mana medium mengenai kematian bapanya.

"Jadi kita minta dia datang ke negara ini tampil beri maklumat. Itu lebih baik. Bila dia tidak berada di negara ini, dia tak tahu apa yang terjadi," katanya selepas menyertai kempen Op Selamat dan lawatan tinjauan mesra di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini malam ini.

Isnin lalu, Hussain Ahmad, 75, terbunuh sementara isterinya Chong Mei Kuen, 49, cedera parah akibat ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir selepas meninggalkan sebuah tokong di Lorong Ceylon di sini.

Pascal Najadi semalam dilaporkan berkata bahawa pembunuhan bapanya bukan disebabkan kegagalan urusan hartanah, tetapi telah dirancang lebih awal.

Beliau juga dilaporkan berkata bahawa beliau tidak akan datang ke Malaysia sehingga suspek yang membunuh bapanya ditangkap.

Sementara itu, Mohmad berkata polis percaya suspek kes tembak berkenaan masih berada di negara ini.

"Kita masih menjejaki suspek. Pasti ada orang kenal dia. Jika anda ada maklumat bantulah kita salurkannya kepada balai -balai polis berhampiran," katanya.

Beliau berkata polis percaya dapat menyelesaikan tersebut dalam masa terdekat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment