My Add

Thursday 8 August 2013

Polis temui semula lori peniaga ayam yang maut disamun

KUALA LUMPUR  RABU, 07 Ogos, 2013: Lori milik seorang peniaga ayam yang maut ketika cuba menghalang penyamun daripada melarikan lorinya di Taman Serdang Raya dekat sini Isnin lalu ditemui semula bersama kesemua barangan niaganya.

Ketua Daerah Polis Serdang, Asisten Komisioner Abdul Razak Elias berkata lori itu ditemui kira-kira pukul 4.30 petang semalam di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Selayang.

"Lori itu berada dalam keadaan baik. Barang niaga seperti ayam dan daging tidak diusik. Namun suami mangsa melaporkan jumlah kerugian adalah sebanyak RM15,000 termasuk hasil perniagaan.

"Motif utama penjenayah adalah untuk mencuri duit," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.35 malam di Jalan Serdang Raya 6/3 itu, mangsa Rohani Harun, 50, dilapor dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas berniaga di tapak pasar malam di Kawasan Perindustrian Bukit Serdang.

"Mangsa yang cuba menghalang lori miliknya daripada dilarikan penyamun telah dirempuh dan diseret beberapa meter. Wanita itu cedera parah di kepala dan meninggal dunia di Hospital Serdang," kata Abdul Razak.

Beliau berkata hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak berhampiran lokasi tidak menunjukkan wajah suspek, hanya lori berkenaan. "Saksi yang berada di lokasi kejadian memberitahu kesemua suspek tidak memakai sebarang topeng muka. Polis sedang menjejaki mereka dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berdekatan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment