My Add

Tuesday 13 August 2013

Pusat Koreksional Perlis hasil Harumanis

ARAU, ISNIN, 12 Ogos, 2013; Pusat Koreksional Perlis menjadi satu-satunya tempat tahanan di Malaysia yang bakal menjadi pengeluar mempelam Harumanis berskala besar apabila 700 pokok yang ditanam di dalam kawasan itu mula berbuah tahun depan.

Pengarahnya, Mat Johir Asin @ Hashim berkata, pokok mempelam Harumanis itu cuma ditanam di ruang kosong di dalam pusat tersebut sejak dua tahun lalu.

"Pusat ini juga bercadang menambah lagi jumlah tanaman ini sehingga 1,000 pokok kesemuanya menjelang tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Jalinan Kasih Hari Raya Aidilfitri di Pusat Koreksional Perlis, Jabatan Penjara Malaysia di Jalan Kok Klang dekat sini hari ini.

Dalam majlis itu seramai 15 banduan dibenarkan bertemu dengan ahli keluarga masing-masing selama sejam.

Mat Johir berkata, urusan penjagaan tanaman itu setiap hari dilakukan oleh empat orang banduan yang turut diselia oleh dua kakitangan pusat berkenaan.

"Pusat ini juga meminta khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian Perlis supaya tanaman mempelam Harumanis dapat membesar dengan baik," katanya.

Beliau berkata, jabatan berkenaan juga turut memberikan bantuan seperti baja dan racun perosak bagi tanaman tersebut.

Mat Johir menambah, pihaknya turut bercadang menimbus kawasan sawah seluas kira-kira dua hektar yang terletak di belakang pusat itu untuk ditanam Harumanis.

Mengenai program Jalinan kasih di Pusat Koreksional Perlis itu, Mat Johir berkata, pada setiap kali Hari Raya Aidilfitri penghuni penjara di pusat tersebut akan diberi peluang bertemu dengan ahli keluarga masing-masing.

Bagaimanapun katanya, penghuni akan diberikan giliran supaya masing-masing dapat peluang bertemu keluarga pada musim perayaan.

"Pusat ini akan menghubungi keluarga penghuni supaya dapat hadir pada majlis perjumpaan ini," katanya.

Mat Johir berkata, sehingga kini Pusat Koreksional Perlis dihuni oleh lebih 400 banduan yang terlibat pelbagai kesalahan jenayah sejak ia dibuka pada 2011. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment