My Add

Thursday 8 August 2013

Raikan perayaan dengan kesyukuran nikmat keamanan

 Mohamad Hasan
SEREMBAN, RABU, 07 Ogos, 2013: Umat Islam diingatkan supaya meraikan Aidilfitri dengan penuh keinsafan serta kesyukuran kerana dapat terus berada dalam sebuah negara yang aman dan damai.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, nikmat yang Allah kurniakan kepada rakyat negara ini amat besar dan sepatutnya disambut dengan rasa syukur berbanding umat Islam di negara lain yang menyambut Hari Lebaran dalam tangisan dan ketakutan.

''Kita raikanlah Aidilfitri dalam kesederhanaan dan janganlah ada sikap menolak kesyukuran ini. Semua nikmat Islam, keamanan, keharmonian dan sebagainya adalah kurniaan Allah," katanya dalam perutusan khas sempena Aidilfitri di sini hari ini.

Mohamad memberitahu, umat Islam harus melihat keadaan tidak menentu di beberapa negara sebagai iktibar.

''Bagaimana mereka hendak meraikan Aidilfitri dalam keceriaan jika ramai ahli keluarga yang terkorban. Macam mana mereka mahu menikmati juadah sedangkan ramai saudara yang terlantar di hospital akibat kecederaan.

''Apa pula kisah mereka yang tidak makan, tiada tempat tinggal, negara huru-hara, perbalahan sesama umat dan berbunuhan," ujar Mohamad.

Maka, beliau mahu rakyat negeri ini insaf kerana dapat tinggal dalam sebuah negara yang aman, meraikan Aidilfitri tanpa ada perasaan takut, hidangan boleh dijamah dan dapat bertemu sanak saudara dalam suasana ceria.

Pada masa sama, Mohamad mahu rakyat terus hargai keamanan negara dan sentiasa ingat kepada mereka yang berkorban dan perlu bekerja pada musim perayaan ini.

''Eratkanlah hubungan dan muhibbah sesama insan serta umat Islam. Hidupkanlah Aidilfitri ini dengan lafaz syukur. Elakkan pembaziran melampau dan bukalah pintu hati untuk sama-sama mohon keampunan daripada Allah dan mendoakan keamanan negara tercinta ini," ujar beliau.

Beliau juga menyeru golongan muda supaya sama-sama menjadikan Aidilfitri ini sebagai medan memperkukuhkan kekuatan diri dalam aspek kerohanian, sopan santun dan menghormati mereka yang lebih tua serta menghargai kesejahteraan yang dinikmati sekarang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment