My Add

Friday 9 August 2013

Rakyat perlu perkasa jati diri, bina keperibadian

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 09 Ogos, 2013: Jati diri yang diperteguh melalui ajaran agama dan budaya ketimuran dalam kalangan rakyat Malaysia boleh menyumbang kepada perpaduan kaum dan membina negara bangsa, demikian menurut seorang penganalisis.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan

Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat mendefinisikan jati diri sebagai nilai-nilai murni yang membentuk keperibadian seseorang.

"Jati diri dalam konteks negara kita boleh disebut sebagai nilai-nilai yang
menjadi teras kepada budaya timur yang kita amalkan contohnya orang Melayu
dengan budaya yang mencerminkan Islam.

"Budaya merangkumi aspek seperti tingkah laku iaitu akhlak atau etika
dan juga intelektual," katanya.

"Perpaduan dengan jati diri mempunyai hubung kait. Perpaduan kaum
tidak akan boleh dicapai tanpa adanya integrasi, dialog dan persefahaman antara
kaum.

"Untuk mencapai persefahaman iaitu asas kepada perpaduan, rakyat harus
fahami budaya setiap rakyat (pelbagai kaum) di negara ini. Tanpa persefahaman,
saling menghormati, perpaduan tidak akan berlaku... dalam erti kata lain,
perpaduan dan jati diri sangat berkait rapat," kata Samsul Abadi kepada Bernama.

Katanya, persefahaman boleh dicapai menerusi sistem pendidikan yang
menekankan nilai-nilai murni, integrasi kaum serta sejarah negara di peringkat
sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi.

Dewan (edisi keempat 2005) memberi pengertian jati diri sebagai sifat
atau ciri yang unik dan istimewa daripada segi adat, bahasa, budaya dan agama.

Ia menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu atau sesuatu
bangsa. Jati diri itu akan menunjukkan citra identiti sesebuah bangsa.

Persoalannya, apakah kes menghina Islam dan negara adalah satu perilaku
kehilangan jati diri? Adakah kehilangan jati diri memberi implikasi besar kepada
negara?

Mengupas persoalan itu, Samsul Adabi berkata kehilangan jati diri akan
memberi implikasi yang besar kepada negara iaitu pertamanya akan menjadikan
negara ini semakin mundur dan kedua menyebabkan kehilangan identiti bangsa
dan negara.

"Budaya timur menganjurkan perilaku atau perbuatan yang mengamalkan sopan
santun, lemah lembut dan saling menghormati dan ia harus dipertahankan.

"Kes-kes seperti menghina Islam dan menghina negara adalah kes yang jelas
bahawa si pelakunya sudah kehilangan identiti dan semangat patriotik serta
menghormati orang lain sekaligus bertentangan dengan budaya timur," katanya.

Beliau berkata, jati diri adalah cerminan kepada bangsa dan negara dengan
kombinasi Melayu, Cina, India dan lain-lain yang membentuk identiti rakyat
Malaysia.

Katanya, ke arah menjayakan misi perpaduan nasional, seluruh rakyat
seharusnya dilibatkan dengan lebih agresif dalam segala aspek kehidupan baik
ekonomi, sosial dan sebagainya bagi memastikan berlakunya integrasi antara kaum. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment