My Add

Thursday 22 August 2013

Ramai tidak mahu pulang

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA
 
 *PELAJAR Malaysia yang mengikuti bidang Pengajian Islam Universiti Al-Azhar dan tinggal di Kompleks Rumah Pahang, Hayyu Asyir, Nasr City, Kaherah, melakukan persiapan semalam, sebelum pulang ke tanah air ekoran krisis di Mesir.
KUALA LUMPUR, RABU, 21 Ogos, 2013: Ramai pelajar Malaysia di Mesir memilih untuk tidak pulang ke tanah air kerana mendakwa keadaan keselamatan, khususnya di kawasan penempatan mereka masih lagi terkawal.

Presiden Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM), Abdul Aziz Ali memberitahu, setelah dimaklumkan oleh pihak Education Malaysia Egypt (EME) berkenaan keputusan kerajaan membawa pulang kesemua 3,300 pelajar Malaysia di Mesir, masih ramai yang memilih untuk terus berada di sana.

"PMRAM menerima banyak pertanyaan daripada pelajar berkaitan operasi membawa pulang tersebut dan apabila dimaklumkan bahawa proses tersebut adalah secara sukarela, maka ramai yang memilih untuk tidak pulang ke Malaysia.

"Malah, difahamkan juga kuota membawa pulang pelajar yang diperuntukkan kepada persatuan-persatuan negeri masih tidak penuh kerana kebanyakan mereka memilih untuk kekal di Mesir," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan untuk memulakan operasi membawa pulang kesemua 3,300 pelajar Malaysia di Mesir bermula malam semalam, selepas kerajaan mendapati pergolakan di Mesir semakin tidak menentu.

Dalam pada itu jelas Abdul Aziz, kebanyakan pelajar beranggapan tahap keselamatan masih lagi tidak memaksa untuk diadakan operasi membawa pulang sepenuhnya sebagaimana berlaku pada tahun 2011.

"Walau bagaimanapun PMRAM sentiasa mengutamakan aspek keselamatan para pelajar lebih-lebih lagi dalam keadaan politik Mesir yang tidak stabil, jadi kami mengharapkan agar seluruh ahli peka terhadap isu semasa dan sentiasa mematuhi arahan terbaharu pihak persatuan.

"Kami turut mengharapkan ibu bapa dan keluarga di Malaysia tidak terlalu panik dengan situasi yang berlaku. Seluruh rakyat diharap terus berdoa agar pelajar Malaysia di sini dijauhkan daripada segala bencana," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment