My Add

Wednesday 21 August 2013

Rasuah: Ketua jabatan IPGM dipenjara 6 bulan

JOHOR BAHRU, RABU, 21 Ogos, W013: Seorang ketua jabatan dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini selepas didapati bersalah menerima suapan daripada seorang kontraktor berjumlah RM37,069.40, empat tahun lepas.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Azmi Hassan, 50.

Mohamad Haldar, bagaimanapun, membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan selesai dengan menetapkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Azmi, Ketua Jabatan Sains, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Temenggong Ibrahim di sini didakwa menerima suapan itu menerusi sekeping cek daripada seorang kontraktor yang terlibat dalam projek naik taraf sistem kumbahan bernilai RM198,927 dan naik taraf flat pekerja bernilai RM198,999 di institut berkenaan.

Dia yang ditangkap pada 7 Ogos tahun lepas, dituduh melakukan kesalahan itu di alamat 02-04, Larkin Indah, di sini pada 11 pagi, 24 Ogos 2009 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, setelah cek tersebut ditunaikan, Azmi telah menggunakan wang tersebut untuk bayaran deposit pembelian kereta jenis Toyota Mark X.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ridzuan Abd Malik manakala tertuduh diwakili peguam Vijaya Sandran.

Sebanyak 13 saksi dipanggil memberikan keterangan sepanjang perbicaraan.

Terdahulu, Vijaya memohon hukuman terhadap anak guamnya diringankan kerana ia merupakan kesalahan pertama dan tertuduh menanggung enam orang anak termasuk dua anak tiri.

Katanya, sepanjang kes berlangsung, Azmi dan isterinya terpaksa berniaga pakaian di pasar malam sehingga memaksa isterinya yang berkerja sebagai pembantu pejabat di sebuah sekolah meletakkan jawatan akibat tekanan.

Ridzuan, bagaimanapun, menegaskan hukuman berat perlu dikenakan kerana kesalahan yang dilakukan Azmi adalah serius dan membabitkan nilai suapan yang besar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment