My Add

Tuesday 6 August 2013

Raya: Sains laksanakan pelan kontingensi bekalan air 5-13 Ogos

SEREMBAN, SELASA, 06 Ogos, 2013: Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains) akan melaksanakan pelan kontingensi sebagai persediaan untuk menangani secara berkesan gangguan bekalan air yang mungkin timbul sepanjang musim perayaan Aidil Fitri ini.

Pengurus Besarnya, Zulkifli Ibrahim berkata, pelan kontingensi ini akan bermula pada 5 hingga 13 Ogos ini.

"Lebih 428 kakitangan Sains akan bertugas sepanjang tempoh perayaan ini dan Sains juga mengaktifkan pusat gerakan 24 jam di ibu pejabat Sains di Seremban.

"Para pelanggan yang ingin membuat aduan bekalan air boleh menghubungi kami di talian bebas tol 1-800-88-6982 atau SMS aduan ke 06-6033500 atau laman web Sains di www.sainswater.com," katanya di sini, hari ini.

Gangguan bekalan air pada musim perayaan lazimnya berlaku di beberapa kawasan di Negeri Sembilan ekoran peningkatan penggunaan air secara mendadak dan melebihi kapasiti Sains yang sedia ada untuk daerah-daerah tertentu.

Peningkatan ini disebabkan pertambahan jumlah pengguna yang pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Di samping itu, terdapat juga faktor lain di luar kawalan Sains yang boleh mengakibatkan gangguan seperti gangguan bekalan elektrik di rumah-rumah pam dan loji rawatan air, penurunan kualiti air mentah dan insiden paip lama pecah.

Zulkifli berkata, Sains telah mengenal pasti tempat yang dijangka akan menghadapi masalah bekalan air terutama di kawasan tinggi atau di penghujung sistem retikulasi Sains.

Untuk mengurangkan bebanan pelanggan, Sains menempatkan tangki-tangki statik di kawasan-kawasan bermasalah serta menghantar lori tangki air, katanya sambil memberitahu bahawa Sains telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan untuk infrastruktur utama seperti di loji rawatan air, rumah pam, jajaran paip dan injap udara, katanya.

Zulkifli menasihatkan pelanggan untuk mengambil langkah penjimatan dan persediaan dengan menyimpan bekalan air bersih memandangkan penggunaan air yang tinggi ketika keluarga dan saudara mara pulang ke kampung halaman untuk meraikan Aidilfitri. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment