My Add

Tuesday 13 August 2013

Roller coaster tersangkut, 10 pengunjung cemas

 * INILAH permainan roller coaster Project-X di taman tema Legoland yang menghadapi masalah teknikal sehingga mencemaskan 10 pengunjungnya, di Nusajaya, Johor hari ini.
NUSAJAYA, ISNIN, 12 Ogos, 2013; Sebanyak 10 pengunjung Taman Tema Legoland Malaysia di sini menempuh detik cemas apabila permainan roller coaster yang dinaiki mereka tiba-tiba terhenti dan tersangkut di pertengahan laluan disebabkan masalah teknikal hari ini.

Bagaimanapun dalam kejadian pukul 10.40 pagi itu, kesemua pengunjung terbabit menghela nafas lega apabila kakitangan taman tema berkenaan segera menghulurkan bantuan dengan menurunkan mereka yang tersangkut di atas rel permainan yang dikenali sebagai Project-X itu.

Pengurus Perhubungan Awam, Jualan dan Pemasaran Legoland Malaysia, D. Deviga berkata, Project-X itu dibuka semula kepada pengunjung pada pukul 11.15 pagi setelah juruteknik membaikinya dan mendapat pengesahan daripada pasukan keselamatan.

"Legoland Malaysia sentiasa mengutamakan keselamatan pengunjung dan kita juga melatih semua kakitangan mengenai prosedur kecemasan khusus ketika keadaan memerlukan.

"Operasi itu hanya tergendala kira-kira 15 minit sahaja sebelum kembali pulih. Kejadian ini tidak melibatkan sesuatu yang serius kerana kami sentiasa memantau semua permainan bagi menjamin keselamatan pengunjung," katanya.

Tambah Deviga, pihaknya juga menggunakan prosedur khas bagi memastikan setiap masalah dikendalikan dengan cepat dan selamat.

"Semua kakitangan di sini diberikan latihan menyelamat bagi memastikan pengunjung berasa selamat ketika berhibur bersama keluarga dan rakan-rakan di sini," katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment