My Add

Sunday 11 August 2013

Rumah terbakar: 14 keluarga setinggan hilang tempat tinggal

 * KEBAKARAN yang memusnahkan lebih 15 buah rumah setinggan di Kampung Sungai Nibong Tengah, Georgetown, Pulau Pinang, semalam. - BERNAMA
PULAU PINANG, SABTU, 10 Ogos, 2013: Sebanyak 14 keluarga yang mendiami kawasan setinggan di Kampung Sungai Nibong Kecil, Bayan Baru di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran hari ini.

Kebakaran berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika kebanyakan rumah ditinggalkan kosong kerana penghuninya pulang ke kampung meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 4.13 petang dan tiba di lokasi kejadian dalam tempoh empat minit.

Beliau berkata, kedudukan rumah yang terletak berdekatan dan tiupan angin menyebabkan api marak dengan pantas tetapi pihaknya berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 40 minit.

"Kami turut menghadapi kesukaran memadam api kerana sumber air agak jauh dan terpaksa menggunakan tangki untuk mengangkut air.

"Bagaimanapun, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa berlaku dalam kebakaran di perkampungan yang menempatkan lebih 500 penduduk ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengumpul pemilik rumah yang terlibat dalam tragedi itu memandangkan kebanyakan mangsa tiada di kediaman kerana pulang bercuti ke kampung menyambut Aidilfitri.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian dialami mangsa masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang mangsa, Salbiah Zakaria, 50, berkata, dia bersyukur kerana sempat menyelamatkan empat cucunya yang berada dalam rumah ketika api mula marak.

Salbiah yang sudah lebih 30 tahun mendiami kawasan setinggan itu memberitahu, dia bersama cucunya sedang tidur di tingkat bawah apabila terdengar suara jirannya menjerit mengatakan ada kebakaran.

"Saya bangun dan lari bersama cucu untuk menyelamatkan diri. Namun, saya sedih kerana tidak sempat menyelamatkan barang-barang termasuk kad pengenalan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment