My Add

Monday 12 August 2013

Rumah transit golongan bujang diperluas

KOTA KINABALU, AHAD, 11 Ogos, 2013: Pelaksanaan projek perumahan transit kepada golongan bujang yang akan dilaksanakan di Kuala Lumpur akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat dalam usaha membantu mereka yang sukar mendapatkan tempat tinggal pada kadar sewa rendah khususnya di kawasan bandar.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan bagaimanapun berkata, pelaksanaan projek berkenaan adalah berdasarkan keperluan dan kemampuan penyediaan rumah.

"Kita akan beri keutamaan kepada yang berkahwin dahulu walaupun memang ada yang meminta supaya golongan gelandangan dan juga bujang diberi peluang mendapat rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) ini.

"Itu pun bergantung kepada keperluan dan bekalan rumah yang mana sekarang pun kita sudah sampai ke tahap bekalan rumah yang kritikal dan perlu membina lebih banyak lagi rumah di seluruh negara," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau di Taman Kingfisher, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Salleh Said Keruak; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Hajiji Noor dan pemimpin-pemimpin BN negeri.

Semalam Abdul Rahman dilaporkan berkata, kerajaan bercadang memperluaskan penyediaan Projek Perumahan Transit yang kini hanya ditawarkan untuk pasangan muda yang baharu mendirikan rumahtangga kepada golongan bujang.

Menurut beliau, PPR Bukit Jalil dicadangkan bagi tujuan itu yang akan diasingkan blok bagi penyewa lelaki dan wanita.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada masa ini cadangan pelaksanaan projek berkenaan sedang giat diteliti oleh kementerian dan semua pihak terbabit.

Tambahnya, kementerian juga sedang berbincang dengan pihak berkuasa tempatan di seluruh negara bagi melaksanakannya di seluruh negeri secara berperingkat.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan turut memberi keutamaan kepada Sabah dalam melaksanakan perkara itu bagi memastikan penduduk di negeri ini turut mendapat nikmat pembangunan negara.

"Kalau kita buat sesuatu dasar ia sudah tentu akan melibatkan negeri Sabah dan seluruh Malaysia," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment