My Add

Sunday 11 August 2013

Rumah transit golongan bujang

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

 Abdul Rahman Dahlan
KUALA LUMPUR, SABTU, 10 Ogos, 2013: Kerajaan bercadang memperluaskan penyediaan Projek Perumahan Transit yang kini hanya ditawarkan untuk pasangan muda yang baharu mendirikan rumahtangga kepada golongan bujang.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, langkah tersebut sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada golongan itu selain membantu mereka yang menghadapi kesukaran mendapatkan tempat tinggal pada kadar sewa rendah khususnya di ibu kota.

Menurut beliau, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Jalil dicadangkan bagi tujuan itu yang akan diasingkan blok bagi penyewa lelaki dan wanita.

''Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan golongan muda yang baharu mendirikan rumahtangga dan yang tiada tempat tinggal. Kita juga berhasrat menawarkan Rumah Transit kepada mereka yang masih bujang.

''Sehubungan itu, Jabatan Perumahan Negara telah mengemukakan surat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memohon kerjasama agar tiga blok PPR Bukit Jalil dijadikan Rumah Transit iaitu masing-masing satu blok untuk lelaki, wanita dan pasangan muda baharu berkahwin," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan pembinaan Projek Perumahan Transit kepada pasangan muda yang baharu berkahwin untuk memiliki kediaman selesa yang akan dilaksanakan mulai tahun depan.

Bagi tujuan berkenaan, kementerian berkenaan akan memperuntukkan 10 peratus daripada jumlah PPR untuk disewa golongan berkenaan pada kadar hanya RM124 sebulan.

Namun, keistimewaan itu hanya diperuntukkan kepada pasangan muda yang baharu berkahwin dan memiliki pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 dengan tempoh sewaan adalah selama dua tahun.

Malaysia kini mempunyai jumlah penduduk seramai 28,334,135 orang dengan golongan bujang yang berusia 15 tahun ke atas ialah seramai 8,202,820 orang atau 40 peratus.

Jelas Abdul Rahman, DBKL bersedia menimbangkan peruntukan PPR Bukit Jalil bagi tujuan tersebut setelah mengambil kira kesukaran mengambil alih Perumahan Awam DBKL kerana melibatkan pemindahan perjanjian atau kontrak antara penghuni dan DBKL.

''Mesyuarat mengenai penyediaan Rumah Transit telah diadakan pada 11 Julai lalu dengan DBKL dan pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan terdapat kesukaran dan kekangan bagi memindahkan penghuni sedia ada di Perumahan Awam DBKL itu.

''Oleh itu mereka menerima cadangan supaya PPR Bukit Jalil dijadikan sebagai rumah transit dan Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL akan membawa perkara ini bagi mendapat persetujuan Datuk Bandar Kuala Lumpur," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, satu Jawatankuasa Pemandu Rumah Transit akan ditubuhkan bagi membincangkan hal-hal berkaitan seperti spesifikasi, kos pembinaan serta peraturan-peraturan terlibat setelah mendapat persetujuan bersama DBKL - UTUSAN

No comments:

Post a Comment