My Add

Saturday 3 August 2013

Sabah miliki taska OKU akhir tahun ini

KOTA KINABALU, SABTU, 03 Ogos, 2013: Sabah akan memiliki taman asuhan (taska) untuk kanak-kanak kurang upaya menjelang hujung tahun ini, yang merupakan antara enam taska seumpama diwujudkan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, selain Sabah, kerajaan mewujudkan taska itu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak, Putrajaya dan Sarawak dengan peruntukan RM500,000 masing-masing.

Penubuhan taska di Sabah ini adalah hasil kerjasama dengan badan bukan kerajaan dan bagi tujuan itu kerja menaik taraf dan mengubah suai Cheshire Home Likas sedang dilakukan, katanya kepada pemberita selepas Program Kar1sma Ramadan, di sini malam tadi.

Menurut Azizah, keistimewaan taska itu ialah hanya menempatkan maksimum 30 kanak-kanak dan mempunyai pengasuh yang berkelayakan menjaga kanak-kanak kurang upaya.

Sementara itu, mengulas cadangan Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) agar Jabatan Pembangunan Wanita Persekutuan diwujudkan di Sabah, beliau berkata perkara itu memerlukan perbincangan antara kerajaan pusat dan negeri.

"Kita sedia maklum di Sabah sudah ada Jabatan Hal Ehwal Wanita yang telah melaksanakan tanggungjawab sebaik-baiknya.

"Sekiranya mahu diwujudkan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) di Sabah bukanlah untuk bersaing atau berlaku pertindihan tugas tetapi adalah untuk menambah baik dan memperkukuhkan institusi yang sedia ada," katanya.

Pada program itu sebanyak 200 golongan yang memerlukan termasuk anak yatim, ibu tunggal, warga emas dan saudara baharu menerima sumbangan daripada kementerian. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment