My Add

Thursday 8 August 2013

Sambutan Aidilfitri masa untuk eratkan ukhuwah - Musa

Musa Aman 
KOTA KINABALU, RABU, 07 Ogos, 2013: Sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja menjadi platform terbaik mengeratkan ukhuwah sesama umat Islam, malah menjadi wadah dalam mengukuhkan lagi semangat perpaduan dan muhibah antara masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

Sehubungan itu Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, Aidilfitri merupakan kesempatan terbaik untuk bermaaf sesama keluarga dan sahabat handai serta menjadi ruang menyemarakkan amalan saling mengunjungi dan mengadakan rumah terbuka.

Katanya, dalam konteks negeri Sabah, banyak kejayaan dicipta seiring dengan kepesatan pembangunan negara dan kepelbagaian suku kaum, agama dan budaya bukanlah menjadi penghalang untuk terus menikmati pembangunan dan kemajuan.

"Sehubungan itu, kerajaan terus bertekad untuk berusaha membawa lebih banyak pembangunan dan kemajuan untuk dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang, suku kaum dan agama.

"Apa yang penting kita mestilah terus menjaga dan memperkukuhkan semangat perpaduan dan saling menghormati dalam kepelbagaian antara satu sama lain," katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini.

Menurut Musa, perpaduan dan kestabilan yang dinikmati hari ini adalah hasil komitmen dan kesungguhan seluruh warga Malaysia yang cintakan keamanan dengan sentiasa berusaha untuk memelihara dan mengekalkannya.

Katanya, apa yang membimbangkan sejak kebelakangan ini adalah kecenderungan pihak-pihak tertentu yang cuba menggugat keharmonian dan merosakkan perpaduan rakyat yang dikecapi selama ini.

"Jadi, saya menyeru kepada seluruh rakyat khususnya di negeri ini untuk sentiasa menghormati antara satu sama lain dan kita semua terus mengamalkan semangat 1Malaysia dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, bangsa dan agama di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu Musa berkata, pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan telah berjaya memberi pelbagai manfaat seperti mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan memacu peningkatan ekonomi.

Katanya, bagi negeri Sabah, fokus yang diutamakan ialah pembangunan pelancongan, minyak dan gas serta kelapa sawit yang amat berpotensi dan mampu memberi impak positif.

"Kini kerajaan sedang berusaha melaksanakan lebih banyak aktiviti pemprosesan hiliran minyak, gas dan produk berkaitan kelapa sawit sekali gus meletakkan kedudukan ekonomi negeri pada tahap yang lebih baik.

"Program transformasi kerajaan juga menunjukkan pencapaian memberangsangkan dan saya optimis bahawa kita akan mencapai matlamat dalam tempoh masa ditetapkan bagi setiap inisiatif termasuklah Koridor Pembangunan Sabah dan Agenda Halatuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment