My Add

Sunday 25 August 2013

Sanusi Junid dianugerah Tokoh Koperasi 2013

 *MUHYIDDIN menyampaikan Anugerah Hari Koperasi Negara 2013 Kategori Tokoh kepada Sanusi Junid (dua dari kanan) sewaktu majlis sambutan Hari Koperasi Negara 2013 di Dataran Darul Aman,Jitra Kedah semalam. - MINGGUAN/KAMAL BASIR
JITRA, SABTU, 24 Ogos. 2013: Bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Sanusi Junid dan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) masing-masing diumumkan sebagai pemenang Anugerah Tokoh Koperasi dan Kategori Perdana Hari Koperasi Negara 2013.

Anugerah berupa wang tunai RM30,000, sijil penghargaan dan trofi disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada perasmian program berkenaan di Dataran Darul Aman, Bandar Darul Aman di sini hari ini.

Sanusi, 70, yang juga Menteri Besar Kedah Ketujuh dan pernah memegang jawatan penting dalam Kabinet kerajaan dipilih menerima anugerah berkenaan atas jasa, pengalaman dan sumbangan beliau dalam sektor korporat serta perkhidmatan kerajaan.

Beliau antaranya mengasaskan pembentukan Koperasi Industri Kampung (KIK), Koperasi Pembangunan Daerah (KPD) dan Koperasi Pembangunan Negara.

Sementara itu, Koperasi Tentera menunjukkan daya saing dan pencapaian memberangsangkan sejak didaftarkan pada 1960 yang melayakkannya menerima Anugerah Anugerah Kategori Perdana.

Jumlah keanggotaannya yang berakhir pada Disember tahun lalu adalah seramai 147,440 orang dengan kumpulan wang ahli termasuk yuran terkumpul dan modal syer berjumlah RM1.187 bilion.

Koperasi Tentera mempunyai aset terkumpul sebanyak RM2.41 bilion dengan mencatat keuntungan operasi sebanyak RM248.7 juta sekali gus berupaya membayar dividen secara konsisten sebanyak 12 peratus atau lebih selama 13 tahun berturut-turut sejak 1996.

Pada 2011 dan 2012, koperasi berkenaan membayar dividen sebanyak 14 peratus dengan jumlah bayaran melebihi RM109 juta.

Dalam pada itu, Koperasi Guru-Guru Melayu Negeri Kedah Berhad dipilih menerima Anugerah Kategori Kewangan, Koperasi Perwaja Kemaman Berhad (Pemborongan dan Peruncitan) dan Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh Kinabatangan Berhad (Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan).

Koperasi Juruukur Tanah Berlesen Berhad pula menerima Anugerah Kategori Pertanian dan Industri Asas Tani, Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Perladangan), Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad (Hartanah) dan Koperasi Sekolah Menengah Kota Kota Bharu Berhad dipilih menerima Anugerah Kategori Sekolah. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment