My Add

Monday 5 August 2013

Sasar rekrut 300,000 ahli Skuad Muda 1JPJ dalam setahun

 * ISMAIL Ahmad (dua dari kiri) melepaskan sekumpulan penunggang Skuad Muda 1JPJ yang menyertai Op Khas Motosikal secara bersepadu di atas Jambatan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu, Terengganu, malam semalam. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM
KUALA TERENGGANU, AHAD, 04 Ogos, 2013: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan untuk merekrut sehingga 300,000 ahli Skuad Muda 1JPJ dalam tempoh setahun berdasarkan sambutan yang memberangsangkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad berkata, menerusi skuad itu, golongan muda yang kebanyakannya daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli kelab permotoran dan persatuan automotif direkrut sebagai sukarelawan JPJ.

Menurut beliau, ketika ini, penubuhan skuad yang dilancarkan pada 1 Ogos lalu itu telah mula digerakkan di setiap negeri khususnya di Semenanjung.

"Ini satu pendekatan baharu bagi mengurangkan kadar kemalangan. Walaupun tidak mempunyai kuasa untuk menahan dan mengeluarkan saman seperti anggota JPJ, skuad ini akan membantu anggota penguat kuasa semasa menjalankan operasi.

"Pada masa yang sama, mereka juga akan bertindak selaku penyalur maklumat kepada JPJ berkaitan kesalahan lalu lintas yang dilakukan oleh pengguna jalan raya," katanya selepas menyertai Op Khas Motosikal yang turut disertai 33 anggota pertama skuad itu di Jambatan Sultan Mahmud di sini malam tadi.

Ismail seterusnya berkata, penubuhan Skuad Muda 1JPJ itu selaras dengan pertambahan kenderaan serta bilangan pemandu dan pemegang lesen kenderaan di negara ini.

"Dalam hal ini kita tak boleh harapkan anggota JPJ sahaja. Kalau kita nak menggerakkan anggota JPJ secara keseluruhan, paling tinggi pun dapat capai sehingga 2,000 anggota pada satu-satu masa.

"Dengan jumlah itu (2,000 anggota) pun, kita tak mampu mengawal serta mengurus sejumlah 23 juta kenderaan di Malaysia, 14 juta pemandu atau pemegang lesen kenderaan dan pertambahan bilangan kenderaan iaitu sebanyak 1.5 juta setahun. Sebab itulah kita perlukan sukarelawan ini untuk membantu," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment