My Add

Wednesday 21 August 2013

Selesai isu air di Selangor

Oleh THOMAS CHONG

PUTRAJAYA, SELASA, 20 Ogos, 2013: Kerajaan Persekutuan akan mengambil pendekatan undang-undang untuk menyelesaikan kemelut isu air di Selangor sekiranya rundingan dengan kerajaan negeri gagal membawa hasil dalam tempoh tiga bulan ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, tindakan perundangan boleh diambil atas pertimbangan menjaga keselamatan negara selain melindungi kepentingan penduduk dan ekonomi di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Ongkili walau bagaimanapun berkata, beliau yakin isu penstrukturan air di Selangor dan pembinaan loji rawatan air Langat 2 (Langat 2) boleh diselesaikan dalam tempoh tiga bulan melalui perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Selangor.

"Cadangan terperinci telah diterima daripada Selangor enam minggu lalu dan cadangan itu sudah diteliti termasuk dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, kita akan beri maklum balas dalam masa terdekat.

"Kerajaan Persekutuan sebelum ini giat mengadakan perbincangan demi perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk mengenal pasti langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi isu ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan pihak industri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ongkili berkata, Kerajaan Persekutuan berpendirian bahawa isu penstrukturan semula industri air Selangor dan pembinaan Langat 2 perlu diselesaikan serentak dan bukannya menunggu penyelesaian isu pengambilalihan industri air sebelum pembinaan Langat 2 dibenarkan.

"Penstrukturan industri tidak boleh dijalankan jika tiada bekalan air, projek pembekalan air dari Pahang telah siap 80 peratus tetapi pembinaan loji rawatan belum bermula.

"Berdasarkan keikhlasan untuk menyelesaikan masalah, kita berpendapat Langat 2 harus diteruskan. Pada saat ini, margin bekalan air adalah kira-kira 1.4 peratus dan 710 projek telah ditangguhkan kerana kita tidak mahu pelabur berdepan masalah air kelak," katanya.
N
Dalam perkembangan lain, Ongkili berkata, sebanyak 2,306 permohonan untuk penjanaan tenaga boleh diperbaharui telah diterima dengan 1,644 daripadanya diluluskan sejak Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) ditubuhkan pada akhir tahun lalu.

"Daripada jumlah keseluruhan kapasiti tenaga yang diluluskan, 5.02 peratus adalah melalui biogas, biojisim (32.55 peratus), hidro kecil (22.8 peratus) dan solar (39.63 peratus)," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment