My Add

Saturday 3 August 2013

Shahidan perkasa konsep 1 Umno di Perlis

SHAHIDAN KASSIM 
KANGAR, SABTU, 03 Ogos, 2013: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim akan memperkasa konsep 1 Umno di Perlis bagi melenyapkan kewujudan puak yang boleh membawa kehancuran kepada parti Melayu terbesar itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis itu juga akan mengadakan program berterusan bersama cawangan Umno dan memastikan setiap cawangan dapat bersidang pada tempoh yang ditetapkan.

Shahidan, yang ditemui selepas menutup majlis khatam Al-Quran Wanita Umno bahagian Arau di Kompleks Warisan hari ini, berkata beliau sudah menemui Menteri Besar Azlan Man, yang dilantik Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, secara tidak rasmi.

"Keutamaan saya sekarang ialah mencipta kekuatan Umno melalui konsep 1 Umno dan menghapuskan puak dalam parti," katanya ketika diminta mengulas pelantikan beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis.

Anggota Parlimen Arau itu berkata anggota Umno di peringkat akar umbi juga diminta mengutamakan perpaduan meskipun mereka bebas memberi cadangan dan pandangan pada persidangan cawangan.

"Saya tidak pasti apa yang mereka bakal bangkitkan, tetapi mereka bebas berbuat demikian melalui persidangan cawangan demi kebaikan parti," katanya.

Shahidan turut melahirkan rasa kecewa dengan pemilihan kontraktor luar bagi melaksanakan projek pembangunan utama di Perlis, yang disifatkan melenyapkan peluang golongan berkenaan di negeri ini.

Beliau berkata projek utama sepatutnya ditawar kepada kontraktor di Perlis kerana mereka juga terbukti mampu melaksanakan projek yang jauh lebih besar sebelum ini.

Bekas Menteri Besar Perlis itu berkata kebanyakan kontraktor Perlis kini menjadi pemerhati kepada pembangunan negeri yang kerjanya dilaksana kontraktor dari luar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment